Oleh: Ziyaurrahman
Dalam politik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Namun apabila perbezaan itu sampai ke tahap menggunakan tokoh-tokoh agung Islam sebagai bahan perbandingan yang menghina, masyarakat perlu berhenti sejenak dan bertanya, ke mana sebenarnya arah akhlak pemimpin politik kita? Tambahan pula pemimpin yang mengungkap itu datang dari parti yang Islam sebagai terasnya.
Mutakhir ini, timbul kenyataan yang mengaitkan Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar al-Khattab R.A dengan gambaran buruk sebelum Islam. Abu Bakar R.A dikatakan sebagai “Bapa Ceti” yang bergelumang dengan riba sementara itu, Umar R.A pula digambarkan dengan tuduhan moral yang berat. Kenyataan seperti ini bukan sekadar kasar, tidak beradab malah berbahaya kerana ia menyentuh kedudukan para sahabat Nabi S.A.W tanpa disiplin ilmu yang teliti.
Lebih membimbangkan, kisah-kisah sebegini digunakan dalam suasana politik semasa untuk menyerang pihak tertentu. Tokoh Islam yang dimuliakan oleh Allah dan Rasul-Nya dijadikan alat retorik bagi membakar sentimen politik yang bersifat. Di sinilah wacana awam kita perlu diperbetulkan.
Politik tidak boleh menghalalkan fitnah. Kritikan terhadap pemimpin boleh dibuat, malah perlu dalam masyarakat demokratik. Tetapi kritikan mestilah berasaskan fakta, adab dan tanggungjawab bukannya dengan memanipulasi sejarah Islam atau menjadikan sahabat Nabi sebagai bahan sindiran dan mengukhkan hujah demi menyerang pihak lawan politik bagi menutup kebaikan yang dilakukan oleh pihak lawannya. Di sini perlu kita menggunakan akal kita, adakah ini yang dinamakan politik matang dan sejahtera serta adakah ini yang dinamakan politik mengikut al-Quran dan Sunnah seperti yang dijaja oleh kelompok ini?
Dalam tradisi retorik Aristotle, terdapat tiga asas penting dalam pembinaan hujah iaitu ethos, logos dan pathos. Ketiga-tiganya boleh membantu kita menilai sama ada sesuatu ucapan politik itu mendidik masyarakat atau sekadar mengapi-apikan kebencian. Sekali lagi ia adalah untuk membantu, bukannya dalil dan nas syarak yang qati’e
Pertama, ethos soal akhlak dan kredibiliti orang yang berbicara. Dalam Islam, hal ini berkait rapat dengan amanah ilmu, adab dan tabayyun. Seseorang yang bercakap atas nama agama tidak cukup hanya petah berpidato. Dia mesti menjaga ketepatan fakta dan kemuliaan bahasa dan perlu tabayyun sanad kisah tersebut bukannya “tibaiyun” untuk sedap tekak dan menaikkan emosi para pendengar.
Saidina Abu Bakar R.A, menurut catatan sejarah Islam, dikenali sebagai pedagang Quraisy yang sangat dihormati, seorang yang jujur, pemurah dan dipercayai masyarakat Mekah. Tiada riwayat sahih yang wajar dijadikan asas untuk melabel beliau sebagai “Bapa Ceti” dalam makna menghina. Malah selepas memeluk Islam, Abu Bakar R.A menjadi antara insan paling besar pengorbanannya dalam membantu dakwah Rasulullah S.A.W termasuk membebaskan hamba dan menginfakkan hartanya untuk Islam.
Begitu juga Saidina Umar R.A. Benar, masyarakat Arab sebelum Islam hidup dalam suasana jahiliah dengan pelbagai kerosakan sosial. Namun Islam datang bukan untuk mengabadikan dosa silam manusia yang telah bertaubat, sebaliknya mengangkat mereka melalui iman, amal dan perubahan. Umar R.A selepas Islam dikenali sebagai pemimpin yang adil, tegas dan amat menjaga maruah umat.
Justeru, membuka gambaran buruk yang tidak disandarkan kepada disiplin riwayat yang sahih, kemudian menggunakannya untuk kepentingan politik, bukanlah keberanian agama. Ia adalah kecuaian adab. Bahkan, inilah yang boleh difahami dalam kerangka pemikiran Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “kehilangan adab” iaitu kegagalan meletakkan sesuatu pada tempatnya, termasuk dalam menilai martabat ilmu, sejarah dan tokoh agama.
Mencerca Dato’ Sri Anwar Ibrahim, meskipun tidak beradab, masih boleh dibaca sebagai sebahagian daripada strategi kasar parti dalam gelanggang politik. Namun apabila lidah politik mula memandang hina dan menyebut secara buruk terhadap Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A walaupun dengan alasan merujuk kepada kehidupan mereka sebelum Islam, maka itu bukan lagi sekadar serangan politik. Ia adalah pencerobohan adab yang parah terhadap tokoh-tokoh yang dimuliakan dalam agama.
Lebih serius, kenyataan seperti itu bertentangan dengan nas yang jelas. Rasulullah S.A.W bersabda bahawa manusia itu seperti logam galian; sebaik-baik mereka pada zaman jahiliah adalah sebaik-baik mereka dalam Islam apabila mereka memahami agama. Hadis ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A dan terdapat dalam riwayat Sahih al-Bukhari serta Sahih Muslim dengan lafaz yang membawa maksud tersebut.
Maksud hadis ini sangat besar. Ia menunjukkan bahawa Islam tidak memadamkan kemuliaan asal seseorang yang memiliki jiwa besar, sebaliknya Islam menyempurnakan dan mengangkat kemuliaan itu apabila disinari iman dan kefahaman agama. Maka, jika Rasulullah S.A.W sendiri mengajarkan bahawa yang terbaik pada zaman jahiliah boleh menjadi yang terbaik dalam Islam apabila mereka faqih, atas asas apakah Abu Bakar R.A dan Umar R.A boleh digambarkan dengan gelaran yang hina?
Dalam pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kedudukan Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A bukan perkara kecil. Mereka adalah manusia terbaik dalam umat ini selepas Rasulullah SAW. Bahkan terdapat riwayat daripada Saidina Ali R.A yang menyebut bahawa sebaik-baik umat ini selepas Nabinya ialah Abu Bakar, kemudian Umar. Dalam huraian akidah Ahl al-Sunnah juga dinyatakan bahawa telah masyhur dan disepakati kedudukan Abu Bakar R.A kemudian Umar R.A sebagai yang paling utama selepas Nabi S.A.W.
Maka persoalannya, adakah akal yang waras boleh menerima bahawa dua insan terbaik dalam umat ini selepas Rasulullah S.A.W disifatkan dengan gelaran seperti “Bapa Ceti” dan “Penzina Tegar”? Ceti dan penzina tegar bukan sekadar istilah biasa. Kedua-duanya membawa makna kehinaan moral yang dibenci oleh manusia daripada pelbagai agama, budaya dan tamadun.
Kedua, logos iaitu soal logik dan fakta. Dalam hal ini, kesilapan paling besar ialah membuat perbandingan yang rosak antara tokoh politik hari ini dengan para sahabat Nabi sebelum Islam. Para sahabat bukan sekadar tokoh sejarah biasa. Mereka generasi yang dididik langsung oleh Rasulullah S.A.W, dipuji dalam al-Quran dan diiktiraf dalam tradisi Islam.
Maka, menyamakan kisah kehidupan mereka sebelum Islam dengan pertikaian politik hari ini adalah satu bentuk false analogy, perbandingan yang tidak kena pada tempatnya. Ia gagal mengambil kira hakikat taubat, transformasi iman dan kedudukan para sahabat dalam akidah serta sejarah umat Islam. Lebih daripada itu, tindakan memilih cebisan tertentu daripada sejarah, kemudian mengabaikan keseluruhan pengorbanan Abu Bakar R.A dan Umar R.A, adalah bentuk cherry picking. Ia bukan pendidikan sejarah tetapi manipulasi sejarah.
Kalau benar kita mahu mengambil pengajaran daripada kehidupan para sahabat, maka yang patut diketengahkan ialah kejujuran Abu Bakar R.A, keberanian Umar R.A, pengorbanan mereka, kesetiaan mereka kepada Rasulullah S.A.W dan keadilan mereka dalam memimpin umat. Bukannya menggali gambaran yang merendahkan martabat mereka demi memenangkan perbalahan politik sehari dua.
Ketiga, pathos iaitu soal emosi. Aristotle mengakui bahawa emosi penting dalam pidato. Tetapi emosi yang baik ialah emosi yang membina kesedaran, bukan membakar kebencian. Dalam politik kita hari ini, emosi sering digunakan untuk menjadikan rakyat marah, curiga dan saling membenci. Ceramah bukan lagi ruang mendidik, tetapi pentas mencela. Agama bukan lagi sumber hikmah, tetapi dijadikan alat untuk mengesahkan kemarahan kelompok sendiri. Bak kata para netizan “penunggang agama” tetapi mereka menafikan sekeras-kerasnya tetapi realitinya begitu.
Akibatnya, masyarakat menjadi semakin kasar. Fitnah dianggap keberanian. Caci maki dianggap perjuangan. Menghina pihak lawan dianggap jihad politik. Ini sangat jauh daripada akhlak Rasulullah S.A.W yang melarang umatnya mencela, melaknat dan berkata keji. Politik Islam sepatutnya mengangkat martabat manusia, bukan merendahkannya. Ia sepatutnya membimbing rakyat memilih dengan ilmu, bukan mengheret mereka ke dalam kancah kebencian yang tidak berkesudahan.
Dalam konteks politik semasa, lebih wajar kita menilai pemimpin berdasarkan dasar, prestasi, integriti pentadbiran dan manfaat kepada rakyat. Jika ada kelemahan, kritiklah dengan fakta. Jika ada ketirisan, tegurlah dengan bukti. Jika ada dasar yang tidak adil, lawanlah dengan hujah. Tetapi jangan sampai sahabat Nabi S.A.W dijadikan bahan untuk menyindir atau menghina. Perbezaan parti tidak boleh mengatasi adab terhadap agama. Persaingan kuasa tidak boleh menghapuskan disiplin ilmu. Kebencian politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan penghinaan terhadap tokoh yang dimuliakan dalam Islam.
Walhasil, isu ini bukan sekadar tentang satu kenyataan politik. Ia tentang penyakit yang lebih besar dalam budaya politik kita: keinginan untuk menang sehingga sanggup mengorbankan adab, ilmu dan kebenaran. Jika politik menyebabkan kita hilang hormat kepada sahabat Nabi, maka yang sedang rosak bukan hanya politik. Yang lebih parah ialah jiwa dan akhlak umat.
Jika beginilah sikap, akhlak dan pemikiran seorang pemimpin daripada parti yang membawa nama Islam, maka rakyat wajar bertanya: apakah beliau benar-benar sedang memuliakan Islam, atau hanya menggunakan Islam untuk memenangi pertarungan politik? Sebab pemimpin yang baik tidak hanya diukur pada parti yang diwakilinya, tetapi pada adab yang dijaganya, ilmu yang dipertanggungjawabkannya dan kebenaran yang berani dipertahankannya. Tanpa adab, politik agama boleh berubah menjadi politik amarah dan apabila agama dijadikan senjata kebencian, yang rugi bukan hanya lawan politik, tetapi seluruh umat.
Jika mencerca Perdana Menteri masih mahu dianggap sebagai strategi politik parti, maka menghina Abu Bakar R.A dan Umar R.A tidak boleh diselindungkan di sebalik alasan yang sama. Politik boleh berbeza, tetapi adab terhadap sahabat Nabi tidak boleh dikorbankan. Lawan politik boleh dikritik, tetapi dua insan terbaik umat ini selepas Rasulullah S.A.W tidak boleh dijadikan bahan perbandingan yang hina. Sebab pemimpin yang baik tidak hanya diukur pada parti yang diwakilinya, tetapi pada adab yang dijaganya, ilmu yang dipertanggungjawabkannya dan kebenaran yang berani dipertahankannya. Apabila politik kehilangan adab terhadap sahabat Nabi, yang rosak bukan sahaja wacana politik. Yang lebih parah ialah jiwa umat yang diajar membenci atas nama agama.