Romantisme janji dua dekad dan mimpi ngeri hari esok
- ANTARABANGSA
Selepas Selat Hormuz mencekik bekalan minyak dunia, perhatian kini beralih ke Selat Melaka. Kedudukan Malaysia di pentas global makin sensitif apabila kita terhimpit dalam bayang perang proksi yang tercetus susulan langkah Presiden Prabowo memeterai kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat, yang masih belum jelas butirannya.
Kenapa ini penting? Adakah wujud usaha untuk menghalang Malaysia daripada mengambil langkah sekatan seperti Iran?
Bukan sekadar itu. Implikasinya mungkin jauh lebih besar. Selat Melaka ialah urat merih kepada bekalan tenaga China, seteru utama Amerika Syarikat. Jika laluan ini terganggu, kesannya bukan kecil. China sejak lama sedar risiko ini dan telah mencari alternatif termasuk pembinaan paip darat, pembangunan koridor Myanmar serta mengukuhkan bekalan tenaga dari Rusia.
Isu ini telah pun dibangkitkan lebih dua dekad lalu oleh mantan Presiden China, Hu Jintao, melalui konsep ‘Dilema Melaka’ dalam merangka masa depan keselamatan dan ekonomi negaranya.
Malaysia yang selama ini mendapat manfaat daripada kedudukan strategik kini terdedah kepada risiko baharu. Kita bukan sahaja berdepan tekanan geopolitik tetapi juga kemungkinan menjadi medan percaturan kuasa besar. Pertembungan antara Amerika Syarikat dan China menjadikan kita kancil yang tersepit di tengah-tengah.
Malaysia, Indonesia dan Singapura kini berada di barisan hadapan dalam susunan kuasa global. Kita mungkin tidak memilih untuk berada di atas papan catur ini tetapi geografi telah menetapkannya.
Apa sahaja perubahan dalam landskap keselamatan di sekitar Indonesia akan memberi kesan langsung kepada Malaysia, dari segi ketenteraan, ekonomi, diplomatik dan juga psikologi.
Laluan yang semakin dipenuhi persaingan kuasa akan meningkatkan risiko perkapalan, melonjakkan kos insurans, menggugat keyakinan pelabur, dan menjadikan ekonomi terbuka seperti Malaysia lebih terdedah.
Dalam konteks ini, kebijakan Presiden Prabowo akan menjadi tumpuan. Ketika Menteri Pertahanannya berada di Pentagon menandatangani kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat, beliau pula bertemu Presiden Putin, yang mengumumkan penyertaan penuh negara itu dalam BRICS, satu blok yang bertujuan mengurangkan dominasi Amerika Syarikat dalam sistem global.
Namun, keupayaan tiga negara serantau ini mengimbangi diplomasi tidak boleh dipandang ringan. Singapura terkenal dengan diplomat bertaraf dunia, Indonesia berperanan sebagai peneraju dalam NAM dan ASEAN, manakala Malaysia memiliki kepimpinan yang mampu mengolah hubungan dengan kuasa besar secara berhemah.
Yang pasti, rantau ini telah memasuki fasa baharu. Kedudukan strategik yang suatu ketika dahulu membawa kemakmuran sejak era Kesultanan Melaka kini berpotensi menjadi titik nyalaan kepada konflik yang lebih besar.
Dalam keadaan krisis tenaga global yang masih belum reda, persoalannya adakah kita sekadar menjadi penonton, atau mampu memainkan peranan lebih besar dalam membentuk arah masa depan dunia?