Anwar akan terus diherdik dan disindir kerana janjinya lebih dua puluh tahun lepas. Ketika dunia dikocak, segelintir rakyat Malaysia mahu satu benda kekal, atau segalanya tiada lagi bermakna.
Orang-orang lama boleh ceritakan tentang Nokia, jenama telefon yang pernah menguasai pasaran dunia. Dari model tiga tiga sekupang hingga ke butang ‘butterfly’, Nokia tidak terlawan namun kini jenama ini diancam kepupusan.
Kenapa? Kerana Nokia gagal berubah ketika dunia berubah. Ketika negara-negara jiran bergelut dengan masalah ini, kita masih tidak mahu peduli.
Sedarlah, zaman kegemilangan Malaysia sebagai pengeluar bahanapi fosil telah melepasi kemuncak dan kini terpaksa membeli bahan dari luar negara untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.
Dari sejumlah 1.6 TJ pada 2004 menurun sebanyak 23 peratus kepada 1.04 TJ pada 2023. Ini data rasmi dari badan pemantau tenaga, EIA.
Kita cuba unjurkan apa akan jadi jika Malaysia mengekalkan harga minyak seperti sedia ada walaupun dunia sedang bergolak.
Pertama, pelabur akan hilang selera dengan negara kerana melihat perbelanjaan subsidi yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan hutang negara bertambah kerana perbelanjaan negara melebihi kemampuan.
Ini seterusnya akan menyebabkan matawang Ringgit Malaysia jatuh, kemampuan Malaysia untuk mendapatkan suntikan dana luar lebih sukar dan akhirnya ekonomi makin lembab, pengangguran meningkat, masa depan makin suram.
Kedua, tanpa penjimatan dan tiada mengambil sebarang tindakan semasa krisis seperti katak yang berenang dalam periuk di atas dapur. Mula-mula selesa dan menyegarkan namun lama kelamaan empuk menjadi hidangan sup daging katak.
Maksudnya kita boleh pakai dan pakai minyak sampai habis bekalan kemudian menyalahkan lagi orang lain.
Sekatan di Selat Hormuz bukan saja mengganggu harga minyak petrol dan diesel malah cara hidup yang kita ketahui selama ini. Krisis tenaga mampu menolak kita kembali ke zaman silam.
Di Thailand dilaporkan bahan api kini semakin langka dipasaran mengakibatkan nelayan gusar untuk menggunakan bot enjin untuk menangkap ikan. Harga barangan import juga pastinya makin mahal, malah kos untuk menunaikan haji dan umrah juga pasti melonjak naik.
Di Vietnam dan Filipina, syarikat penerbangan mula membatalkan laluan bagi menjimatkan minyak bahan api.
Walaupun semua orang tahu krisis ini benar dan tindakan ini perlu, tapi Anwar Ibrahim akan terus disindir.
Malah segala kejayaan beliau seperti menurunkan kadar pengangguran ke paras terendah, menambah bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, bantuan khas kepada petani dan nelayan, mengembalikan keyakinan pelabur dan nilai ringgit sehingga menjadi kecemburuan negara jiran akan dilupakan hanya kerana menyasarkan semula subsidi pada saat-saat genting.
Mungkin ada yang tidak mahu menerima realiti yang masa sudah berubah, realitinya tidak seperti lebih 2 dekad lalu. Bangkitlah dari lena, Trump sudah dua kali menjadi Presiden Amerika dan harga RON95 di Saudi kini lebih mahal dari Malaysia. Esok bukan mimpi ngeri yang pasti tapi cabaran untuk kita hadapi bersama.