Penutupan Selat Hormuz oleh Iran telah menekan bekalan minyak dunia ke tahap kritikal. Laluan sempit ini merupakan antara saluran utama penghantaran minyak dari Timur Tengah ke Asia. Apabila ia terganggu, negara yang bergantung kepada import minyak segera berdepan risiko kekurangan bekalan.
Sebelum krisis, harga minyak dunia sekitar USD80 setong. Kini ia meningkat kepada sekitar USD96, malah pernah melonjak sehingga USD117 dalam tempoh singkat.
Kesannya sudah mula dirasai di beberapa negara Asia.
Di Bangladesh dan Sri Lanka, kerajaan terpaksa memulakan catuan pembelian petrol kerana stok semakin menipis.
Di Thailand dan Indonesia, pengguna dilaporkan beratur panjang di stesen minyak bagi memastikan mereka sempat mengisi petrol sebelum bekalan habis.
Di Vietnam, harga bahan api sudah melonjak sekitar 20%.
Apabila bekalan minyak terganggu, kesannya bukan hanya pada petrol. Kos pengangkutan akan meningkat, dan akhirnya harga makanan serta barang keperluan harian turut naik.
Di Malaysia, situasinya masih terkawal. Ketika negara lain sudah berhari-hari beratur untuk petrol, malah ada yang memerlukan kawalan tentera berbeza dengan rakyat Malaysia masih mempunyai bekalan.
Namun kerajaan memberi amaran bahawa keadaan dunia tidak stabil. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan subsidi RON95 melalui mekanisme BUDI MADANI mungkin perlu disemak bagi menyesuaikan diri dengan tekanan harga minyak global.
Realitinya, negara kita masih mempunyai bekalan, tetapi kerajaan juga tidak mampu menanggung subsidi yang terlalu tinggi jika harga minyak dunia terus melonjak.
Tanda awal kesan ekonomi juga sudah kelihatan. Malaysia Airlines dan Batik Air telah mengumumkan kenaikan surcaj bahan api, satu petunjuk bahawa kos tenaga sedang meningkat.
Rakyat perlu mula merancang semula perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran, kerana kenaikan kos pengangkutan hampir pasti akan memberi kesan kepada harga barang.
Apa yang berlaku ini juga mengingatkan kita bahawa geopolitik jauh di Timur Tengah tetap memberi kesan kepada kehidupan kita di Asia Tenggara.
Dalam masa yang sama, tragedi kemanusiaan juga tidak boleh dilupakan. Serangan yang melanggar kedaulatan negara dan mengorbankan orang awam termasuk 165 kanak-kanak yang terbunuh apabila sebuah sekolah dibom adalah satu peringatan bahawa perang sentiasa membawa penderitaan besar.
Marilah kita menyahut seruan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan untuk mengadakan solat hajat, memohon keamanan di Timur Tengah dan agar Malaysia terus dilindungi daripada musibah.
Perang mungkin kelihatan jauh, tetapi kesannya sangat nyata. Sebab itu keamanan negara perlu sentiasa kita jaga sebaik-baiknya.