Tidak ramai ulama yang mampu mengubah cara berfikir jutaan umat Islam di seluruh dunia. Lebih sedikit lagi yang berjaya mempengaruhi universiti, institusi fatwa, gerakan Islam, pembuat dasar dan para sarjana merentasi benua. Sheikh Ahmed Al-Raisuni adalah antara tokoh yang berada dalam kelompok eksklusif tersebut.
Jika Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dikenali sebagai ulama yang mendekatkan fiqh kepada kehidupan moden, maka Al-Raisuni pula dianggap sebagai antara tokoh yang memberikan ‘otak’ dan kerangka pemikiran kepada pembaharuan tersebut. Beliau bukan sekadar mengeluarkan pandangan hukum tetapi membantu dunia Islam memahami mengapa sesuatu hukum itu diwujudkan dan apakah tujuan besar yang ingin dicapai oleh syariah.
Dalam dunia akademik Islam kontemporari, nama Al-Raisuni sering disebut sebaris dengan tokoh-tokoh besar seperti Yusuf al-Qaradawi, Taha Jabir Al-Alwani dan Jasser Auda.
Karya-karyanya menjadi rujukan di universiti-universiti Islam dari Maghribi hingga Malaysia, manakala pemikirannya mengenai Maqasid Syariah telah membantu membentuk pendekatan fiqh yang lebih segar dan relevan terhadap cabaran abad ke-21.
Apa yang menjadikan beliau luar biasa ialah keberaniannya mengemukakan satu persoalan yang sering dilupakan iaitu adakah Islam diturunkan semata-mata untuk mengawal manusia melalui hukum atau untuk membebaskan dan memajukan manusia melalui nilai dan tujuan yang lebih besar?
Daripada persoalan inilah lahir sumbangan terbesar Al-Raisuni kepada dunia Islam. Beliau menghidupkan semula disiplin Maqasid Syariah iaitu ilmu yang meneliti tujuan sebenar di sebalik setiap hukum Islam. Melalui pendekatan ini, syariah tidak lagi dilihat sebagai senarai larangan dan perintah semata-mata tetapi sebagai sistem yang bertujuan memelihara keadilan, kebebasan, maruah insan, kesejahteraan masyarakat dan kemajuan tamadun.
Kesan pemikiran beliau sangat besar. Hari ini, apabila para sarjana Islam membincangkan isu demokrasi, tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, ekonomi digital, kecerdasan buatan atau perubahan iklim daripada perspektif Islam, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam kerangka pemikiran yang turut diperkukuhkan oleh Al-Raisuni.
Beliau membantu mengalihkan perbincangan umat daripada persoalan kecil kepada persoalan yang lebih besar. Daripada bertanya “apakah hukumnya?” kepada bertanya “apakah kebaikan yang ingin dicapai oleh Islam?’.
Perubahan cara berfikir inilah yang menjadikan beliau antara tokoh fiqh paling berpengaruh dalam dunia Islam moden.
Sempena sambutan Maal Hijrah, pengiktirafan kepada Sheikh Ahmed Al-Raisuni bukan sekadar penghormatan kepada seorang sarjana. Ia adalah pengiktirafan terhadap keberanian intelektual, tradisi ijtihad dan usaha membina semula hubungan antara agama dengan realiti kehidupan semasa.
Dalam erti kata yang sebenar, beliau bukan hanya seorang pakar fiqh. Beliau ialah arkitek kepada satu gelombang pemikiran Islam yang berusaha memastikan syariah terus relevan, berfungsi dan memimpin umat dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin kompleks hari ini.