Rupa-rupanya ada seorang menteri yang dua kali cuba menghalang Najib Razak pulang. Semuanya terdedah dalam dokumen bertanda TERBUKA yang kini tersebar melalui pautan https://justice4bossku.com/ yang mengandungi perbualan dalam minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64.
Nama-nama di dalamnya memang dihitamkan. Tapi bagi penyokong setia, tak susah nak teka siapa kawan dan siapa lawan.
Hannah Yeoh, Penghalang Nombor Satu?
Dalam mesyuarat pada 18 September itu, seorang anggota mahu Najib terus dipenjara hingga 2028. Katanya, tahanan rumah tiada dalam undang-undang dan bukan sebahagian daripada sistem negara. Beliau merujuk keputusan mahkamah, iaitu ketika Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 dan Titah Adendum itu tidak sah. Beliau juga risau tentang kestabilan politik, pelaburan dan imej negara.
Kemudian datang seorang YB yang bersetuju, sama seperti pendiriannya dalam mesyuarat sebelum ini. Dalam senarai kehadiran, hanya ada seorang YB, dipercayai Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh. Sah, inilah menteri yang dimaksudkan.
Bila syarat tahanan rumah dibincangkan, YB tersebut langsung tidak memberi komen kerana tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat. Bila tiba soal tandatangan, YB tersebut juga bangkitkan isu perintah pengampunan palsu yang tular di media sosial. Beliau minta pegawai lain yang menandatangani perintah itu atas alasan implikasi politiknya besar.
Bossku Tetap Bersih… Kan?
Dokumen ini memang lengkap. Lampirannya menyenaraikan perjalanan kes Bossku sejak awal. Pada 2020, Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah atas semua pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu, dan Mahkamah Persekutuan mengesahkannya.
Pada Januari 2024, hukumannya dipendekkan dan denda dikurangkan kepada RM50 juta. Dalam mesyuarat 18 September itu, ada anggota yang membangkitkan tunggakan cukai Najib RM1.7 bilion yang sudah sampai ke peringkat prosiding kebankrapan. Tetapi mesyuarat putuskan perkara itu tidak berkaitan dengan pertimbangan hari tersebut.
Terima Kasih Tuanku
Nasib baik Tuanku bersifat penuh kasih dan rahmah. Seorang anggota menjelaskan bahawa Perkara 42 Perlembagaan memberi Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk mengampun, menunda hukum dan melega hukum, dan ‘lega hukum’ termasuk dalam kuasa budi bicara Baginda. Seorang lagi menegaskan keputusan akhir terletak di bawah budi bicara Tuanku.
Maka Baginda berkenan memberi pengampunan bersyarat. Najib akan menjalani baki hukuman di rumahnya di Jalan Langgak Duta hingga 23 Ogos 2028. Bila YB tadi cuba mengelak daripada menandatangani perintah tersebut, Baginda memutuskan YB itu sendiri yang perlu menandatanganinya.
Sekarang Najib dah ada di rumah, tetapi beliau tidak boleh keluar atau menerima tetamu tanpa kebenaran bertulis Komisioner Jeneral Penjara. Beliau tidak boleh muncul di media, tidak boleh memberi kenyataan di media sosial, dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti politik.
Walaupun dulu disabit salah kerana rasuah, kini Bossku telah bebas di Langgak Tunku. Malu apa Bossku?