Zahid Hamidi berikrar mahu laksana GST jika BN menerajui Putrajaya, tapi kalau percukaian ini bagus, kenapa Anwar tegas tak mahu laksanakan?
Kaya Atau Miskin, Cukainya Sama
PMX sendiri mengakui GST sistem cukai yang telus dan cekap. Tapi selagi gaji rakyat masih rendah, beliau kata GST belum sesuai dibawa balik, dan menyebut gaji minimum sekitar RM4,000 sebagai paras yang munasabah. Kenapa gaji jadi ukuran?
Bayangkan tol lebuh raya. Pemandu Myvi dan Mercedes bayar kadar yang sama, tapi bagi pemandu Myvi, duit tu jauh lebih terasa. GST pun begitu. Semua orang bayar 6% atas barang yang sama, tapi orang bergaji RM2,000 habiskan hampir seluruh gajinya untuk keperluan. Orang bergaji RM15,000 pula boleh simpan sebahagian gajinya, dan duit simpanan tu tak kena cukai.
Bank Negara sudah sahkan, pada tahun GST diperkenalkan, golongan berpendapatan rendah ditekan kenaikan harga yang lebih hebat berbanding golongan kaya, kerana sebahagian besar duit mereka habis pada makanan dan keperluan asas.
Sebab itulah PMX membandingkan Malaysia dengan negara seperti Singapura, Kanada dan New Zealand. GST berjalan di sana kerana gaji rakyatnya dah cukup tinggi untuk menampung cukai yang sama rata.
Harga Naik Merata, Bukan Sekadar 6%
Atas kertas, kesan GST nampak kecil. Tapi yang rakyat rasa ialah betapa banyak barang yang naik serentak. Pada awal 2015, cuma 1 daripada 10 barang naik harga dengan ketara. Menjelang hujung tahun, jumlahnya naik ke separuh.
Kenapa perkara ini boleh berlaku? Ibarat air yang mengalir dari hulu ke hilir. Sayur mungkin tak kena GST, tapi lori yang bawa sayur, plastik pembungkus dan sewa kedai semuanya kena. Setiap peniaga di sepanjang jalan tambah sedikit pada harga, dan yang paling hujung, pengguna, tanggung semuanya. Sebab itu harga nasi lemak dan makanan di kedai naik lebih laju selepas GST. Lebih teruk bila peniaga pisang goreng pun terpaksa naikkan harga kerana barangan lain naik harga dan perbelanjaannya meningkat.
Akibatnya rakyat pun mula berjimat dan kurang berbelanja. Peniaga makin tertekan bukan sahaja kerana kos naik, tapi jualan makin kurang. Pekerja pula mengeluh gaji tak boleh naik sedangkan belanja harian makin naik. Ini bertentangan dengan janji Timbalan Menteri Kewangan yang kata harga barang akan turun selepas GST. Akhirnya beliau salahkan peniaga.
Bayaran Balik Yang Tersangkut
Dalam sistem GST, peniaga bayar cukai dulu ketika membeli bahan, kemudian kerajaan janji pulangkan semula. Masalahnya, duit tersebut lambat dipulangkan.
Ibarat kawan pinjam duit dan janji bayar minggu depan, tapi berbulan-bulan tak pulang. Sehingga Mei 2018, RM19.4 bilion duit peniaga masih tidak dipulangkan kepada lebih 121,000 syarikat disebabkan kutipan GST tidak disimpan dalam tabung bayaran balik seperti yang sepatutnya. Bila modal tersangkut, peniaga terpaksa cari jalan untuk terus bernafas, dan cara paling mudah ialah naikkan harga. Naik lagi.
Bawa Balik GST, Apa Yang Berbeza?
Sejak GST diganti dengan SST pada 2018, cukai tetap dikutip. Bezanya, kerajaan boleh pilih barang mana yang dikenakan cukai dan barang keperluan rakyat boleh dikecualikan. Hasilnya pun tak kurang, kerana kutipan SST hari ini hampir sama dengan GST dulu.
Tetapi UMNO tetap berikrar nak kembalikan GST dengan segera, atas alasan lebih 170 negara dah melaksanakannya. Persoalannya, apa persediaan untuk elak perkara yang sama dulu dari berulang? Bukankah buat kerja yang sama tapi berharap hasil yang berbeza itu kerja orang tidak siuman?
Nak bawa balik GST memang mudahkan kerja kerajaan. Yang susah, siapa nak jamin sejarah hitam yang sama tidak berulang?