Pijak Al-Quran, Adakah Hukumannya Terlalu Ringan?

Mahkamah sudah menjatuhkan hukuman dalam kes pijak al-Quran di Kuantan, tetapi tidak semua orang berpuas hati. Sebahagian lega keadilan ditegakkan, sebahagian lagi merasakan hukuman itu terlalu ringan.

Penjara 12 Bulan, Denda RM250,000

Pada 12 November, Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM250,000 ke atas tertuduh, S. Vikneswaran, 21. Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan iaitu mencemarkan al-Quran, dan menghantar kandungan jelik di media sosial.

Kalau tertuduh gagal membayar denda, 12 bulan lagi ditambah ke tempoh penjaranya. Peguamnya memohon supaya hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan, atas alasan rawatan psikiatri. Pihak pendakwaan membantah dan permohonan itu tidak berjaya. Tertuduh terus masuk penjara pada hari yang sama.

Bukan Maksimum, Tapi Lebih Berat Daripada Kes Lain

Memang betul, ini bukan hukuman maksimum. Seksyen 295 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia membawa denda sehingga RM500,000. Tapi dalam undang-undang jenayah, tertuduh yang mengaku bersalah biasanya mendapat pengurangan hukuman. Hukuman maksimum pula selalunya dikhaskan untuk kes paling teruk, contohnya pesalah berulang.

Bandingkan dengan kes lain. Pada Mac tahun ini, seorang lelaki berusia 41 tahun di Alor Gajah yang mengaku memijak al-Quran dipenjara sembilan bulan, tanpa denda. Pada Jun lalu, kes hantaran menghina Agong di Kuching berakhir dengan penjara lapan bulan dan denda RM50,000. Pada 2024 pula, pesalah yang menghantar kandungan menghina dalam isu stoking kalimah Allah dipenjara enam bulan dan didenda RM12,000.

Denda RM250,000 untuk seorang anak muda berusia 21 tahun memang luar biasa tinggi, lima kali ganda daripada kes menghina Agong. Hakim sendiri menegaskan hukuman ini bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh, dan juga peringatan kepada orang ramai.

Bermula Dengan Satu Hantaran Di Threads

Semuanya bermula pada 22 Februari. Tertuduh ketika itu pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), memijak al-Quran di sebuah rumah di Kuantan dan memuat naik gambarnya di Threads. Motifnya? Tertuduh tak puas hati kerana dikritik dengan bahasa kesat oleh pengguna media sosial lain.

Dua hari kemudian, adik tertuduh memaklumkan kepada bapa mereka tentang hantaran yang sedang tular itu. Pada 25 Februari, bapanya sendiri membawa tertuduh ke IPD Kuantan untuk membuat laporan polis dan memohon maaf kepada umat Islam.

Selepas itu tindakan bergerak laju. Tertuduh ditahan dan direman, dan analisis polis mengesahkan akaun Threads yang digunakan memang miliknya. Pada 3 Mac tertuduh didakwa di mahkamah, dan pada bulan yang sama UMPSA membuangnya dari universiti, sebelum kesnya pun selesai.

Jangan Terjebak Perangkap Perpecahan

Bila agama dihina, sistem tidak berdiam diri. Polis bertindak pada hari laporan dibuat, pertuduhan difailkan dalam seminggu, universiti mengambil tindakan tatatertib, dan mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat berbanding kes-kes sebelum ini, terutamanya dari segi denda.

Yang ramai terlepas pandang, orang pertama yang bertindak dalam kes ini ialah keluarga tertuduh sendiri. Seorang bapa membawa anaknya ke balai polis dan memohon maaf kepada umat Islam. Itu bukan sikap orang yang merestui penghinaan.

Kemarahan terhadap perbuatan ini memang wajar. Tapi bila kemarahan itu dihalakan kepada satu kaum, kita sebenarnya memberi tertuduh apa yang dia mahu, iaitu perpecahan.

Keadilan sudah ditegakkan, dan tanggungjawab kita sekarang ialah menjaga apa yang cuba dirosakkan. Jangan biar perbuatan seorang individu meruntuhkan kepercayaan yang dibina berpuluh tahun.