Lima Fakta Bukti 1MDB Bukan Sekadar Fitnah

“1MDB tu fitnah, sebenarnya syarikat ini buat untung!” “Duit tu derma Arab, bukan curi!” Sebelas tahun selepas skandal ini meletup, ayat macam ni masih kita dengar, malah makin kuat sejak Najib dapat pengampunan bersyarat.

Apa yang sebenarnya tercatat di mahkamah, di Parlimen dan dalam siasatan antarabangsa?

Fakta 1: Mahkamah Tolak Cerita Derma Arab

Najib tunjuk empat surat derma daripada pemimpin Arab, sejak 2011 hingga 2014 yang menjanjikan sumbangan ratusan juta dolar. Pada Disember 2025, Mahkamah Tinggi menolak semuanya. Hakim mendapati surat-surat itu palsu, dan bukti menunjukkan dengan jelas bahawa wang yang masuk ke dalam akaun Najib tu itu memang datang daripada dana 1MDB.

Hakim juga mempersoalkan butiran kecil yang tak masuk akal seperti surat untuk parti tapi dihantar ke kediaman peribadi Najib dan bukan bukan ke alamat rasmi parti. Tiada kerajaan atau parti yang mengeluarkan resit untuk derma itu. Najib akhirnya didapati bersalah atas kesemua 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman 15 tahun penjara serta denda RM11.38 bilion.

Fakta 2: Pegawai Penyiasat Hilang Kerja Serentak Dalam Sehari

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Abdul Gani Patail digugurkan. Gani ketika itu sedang mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB. Pada hari yang sama, empat ahli PAC yang sedang menyiasat 1MDB dilantik masuk ke dalam kerajaan. Pasukan petugas itu pula dibubarkan serta-merta selepas Gani disingkirkan.

Alasan rasmi diberikan ialah ‘kesihatan’. Tetapi di mahkamah, bekas KSN Ali Hamsa mendedahkan bahawa Gani dibuang kerana Perdana Menteri hilang bimbang dengannya.

Tekanan merebak ke agensi lain. Tujuh pegawai SPRM disoal polis, dua ditahan, dan pejabat SPRM diserbu. Media pun dibungkam, Sarawak Report disekat dan The Edge digantung tiga bulan. Bayangkan polis sedang siasat kecurian di rumah kita, tiba-tiba ketua penyiasat ditukar, pegawainya ditangkap dan wartawan dilarang menulis. Pelik, kan?

Fakta 3: Penyiasat SPRM Diugut Sampai Lari Ke Amerika

Antara yang paling teruk ditekan ialah Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyiasat SRC International. Menurut beliau, beliau diugut akan dipecat, disuruh bersara awal dan dipindahkan ke bahagian latihan. Beliau juga menerima peluru di rumahnya. Saksi-saksi yang ditemu bual pula dilarikan.

Shukri membuat keputusan lari ke Washington pada 31 Julai 2015. Di sana pun beliau diekori, sampai terpaksa ke New York dan dilindungi tiga pengawal peribadi NYPD. Pada 2018, beliau kembali sebagai Ketua SPRM dan menceritakan semuanya secara terbuka sambil menangis dan mengaku hampir mati kerana kes ini.

Fakta 4: Laporan Audit Negara Dipinda Sebelum Sampai Ke Parlimen

Pada 24 Februari 2016, satu mesyuarat diadakan untuk membincangkan laporan audit 1MDB. Ali Hamsa mengesahkan di mahkamah bahawa mesyuarat itu diadakan atas arahan Najib.

Pengarah Audit, Datuk Nor Salwani Muhammad meletakkan perakam suara dalam bekas pensel. Selepas mesyuarat itu, empat perkara penting dibuang daripada laporan sebelum dibentang kepada PAC, termasuk dua versi penyata kewangan 1MDB dan kehadiran Jho Low. Mesyuarat itu juga bersetuju memusnahkan semua laporan asal, tetapi Salwani senyap-senyap menyimpan satu salinan.

Fakta 5: Bank Antarabangsa Mengaku Bersalah, Rakyat Masih Bayar

Kalau semua ni fitnah semata-mata nak jatuhkan Najib, kenapa sebuah bank terbesar dunia mengaku bersalah di Amerika? Goldman Sachs membantu menerbitkan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dan mengutip kira-kira AS$600 juta yuran. Mereka kemudian mengaku bersalah melanggar undang-undang rasuah di AS.

Jabatan Kehakiman AS pula menjejak sebahagian wang itu sampai ke Hollywood melalui saman sivil untuk merampas aset. Red Granite, syarikat filem anak tiri Najib yang menerbitkan The Wolf of Wall Street, bersetuju membayar AS$234 juta kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Kes Belum Selesai, Jangan Kita Sesekali Lupa

Najib menafikan salah laku dan sedang merayu sabitan kes 1MDB, manakala pengampunan bersyaratnya hanya untuk kes SRC International. Salah atau tidak, biar mahkamah tentukan. Yang pasti, bebannya tetap kita tanggung.

Sejak April 2017, kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion untuk hutang 1MDB, termasuk RM14.8 bilion faedah. Masih ada Sukuk bernilai RM8.9 bilion yang akan matang pada tahun 2039.

Walaupun anak cucu kita tak pernah kenal Najib Razak, tapi mereka tetap akan membayar hutang yang ditinggalkan beliau. Jangan ingat skandal 1MDB sudah selesai, tapi ingat sampai bila-bila bagaimana bangkai gajah hendak disembunyikan parti politik paling besar di Malaysia sekalipun, akhirnya tengiknya berbau juga.