“Tony Pua hina Agong!” Itu laungan pemimpin UMNO sejak semalam, siap dengan laporan polis. Tapi dua hari sebelum itu, UMNO sendiri mengumumkan peletakan jawatan seorang Menteri Besar sebelum Raja sempat menerima suratnya.
Persoalannya, siapa sebenarnya yang tak menghormati Raja?
Minit Yang Buat UMNO Melenting
Pada 18 November, Tony Pua berkongsi beberapa halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tentang bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Facebook. Menurutnya, status rahsia minit itu sudah ditarik balik.
Isinya ringkas, dalam mesyuarat pada 18 September, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh membantah tahanan rumah untuk Najib. Dusuki mahu Najib kekal di penjara sehingga 2028. Minit itu juga merekodkan Agong menitahkan Hannah menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat selepas Hannah mencadangkan pegawai lain menandatanganinya.
Akhirnya, Sultan Ibrahim tetap memperkenankan pengampunan bersyarat. Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah dengan syarat termasuk denda RM50 juta. Maknanya, minit itu tidak mengubah atau mempertikaikan keputusan Agong. Ia cuma merekodkan pandangan ahli lembaga sebelum keputusan dibuat.
Reaksi UMNO, parti yang pernah dipimpin Najib sendiri pantas dan keras. Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Asyraf Wajdi, menuduh Pua menghina Agong dan sengaja menghasut perdebatan tentang kuasa prerogatif Baginda. UMNO Kelantan membuat laporan polis dan UMNO menuntut kerajaan menjelaskan siapa yang meluluskan pendedahan minit itu.
Rekod UMNO Di Negeri Sembilan
Kalau UMNO mahu menjadi pembela Raja, pemimpin UMNO perlu cermin diri mereka sendiri. Pada April, empat Undang mengisytiharkan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz. Peguam Negara kemudian menyatakan proklamasi itu tidak sah. Ismail Lasim, yang kini Menteri Besar dari UMNO mengaku pernah menandatanganinya walaupun mendakwa dipaksa.
Pada 8 September, Ismail dan kerajaan negeri melafazkan sokongan serta taat setia kepada Tuanku Muhriz. Tujuh hari kemudian, pada 15 September, 10 exco di bawah pentadbirannya sebulat suara menyokong proklamasi penyingkiran Baginda dan mengarahkan ia diwartakan. Tuanku Muhriz kemudian membatalkan pelantikan kesemua exco itu kerana melanggar sumpah jawatan. Surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengiktiraf semula kedudukan Baginda cuma dihantar pada 10 November.
Terbaru, BN mengumumkan Ismail meletak jawatan. Surat itu cuma sampai ke Istana Hinggap pada pukul 12.16 pagi, dibawa oleh seorang individu dari sebuah firma guaman dan ketulenannya belum disahkan istana. Zahid pula terus mengemukakan nama Menteri Besar baharu. Sedangkan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, peletakan jawatan hanya berkuat kuasa dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar. Selepas menghadap, Ismail difahamkan dititahkan terus bertugas, dan istana sekali lagi didahului oleh orang politik.
Satu Prinsip, Dua Ukuran
Letakkan dua kes ini sebelah-menyebelah. Dalam kes pertama, ahli lembaga berbeza pandangan, tetapi keputusan Agong tetap dihormati dan dilaksanakan. Dalam kes kedua, kerajaan negeri pimpinan UMNO menyokong usaha menurunkan Raja yang sah, dan pimpinan pusatnya pula mengumumkan keputusan yang menjadi hak Raja sebelum Baginda sempat membaca suratnya.
Menghormati Raja diukur pada tindakan, bukan pada kenyataan media. Sebelum menuding jari kepada Tony Pua, UMNO patut menjawab dulu kepada Tuanku Muhriz.