Oleh: Mohamad Daniel Syafiq bin Mohamad Sulaiman
Pemergian Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib bin Syed Ali bin Syed Abdullah bin Syed Muhsin Al-Attas merupakan satu kehilangan besar buat umat.
Permata ummah yang jasanya mungkin tidak selalu disebut dalam ceramah popular, tetapi akarnya menjalar jauh dalam pemikiran dunia Islam.
Idea dan tulisan beliau merentasi Nusantara malah sampai ke dunia Barat. Antara yang pernah membaca dan terkesan dengan karya beliau ialah Yusuf Islam atau pernah dikenali sebagai Cat Steven.
Dalam ucapan takziahnya melalui laman sosial Facebook, beliau menyatakan penghargaan kepada gagasan Islamisasi Ilmu yang luar biasa. Gagasan ini juga mencetuskan inspirasi kepada beliau untuk menubuhkan sekolah Islam pada 1983.
Ini menunjukkan bahawa pemikiran beliau bukan sekadar wacana tempatan, tetapi turut mempengaruhi perbincangan global tentang Islam, ilmu dan peradaban.
Antara sumbangan paling besar beliau ialah menjelaskan bahawa krisis utama umat Islam bukan sekadar kekurangan ilmu, tetapi kehilangan adab terhadap ilmu. Menurut beliau, apabila adab hilang, orang yang tidak layak dianggap berautoriti, dan kebenaran menjadi kabur.
Dari sinilah lahir kekeliruan dalam agama, ilmu dan kepimpinan masyarakat.
Beliau juga menegaskan hubungan penting antara akal dan wahyu. Dalam pandangan Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib, akal ialah alat yang membolehkan manusia memahami kebenaran, tetapi ia mesti dipandu oleh wahyu.
Apabila akal dipisahkan daripada wahyu, maka lahirlah pandangan hidup yang pincang dan akhirnya merosakkan tamadun.
Oleh kerana itu, beliau mengkritik keras faham sekularisme yang memisahkan agama daripada ilmu dan kehidupan. Bagi beliau, sekularisasi bukan sekadar fenomena politik Barat, tetapi satu proses pemikiran yang boleh mengelirukan umat Islam apabila ilmu dan realiti ditafsirkan tanpa panduan wahyu.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan konsep insan dalam Islam. Pendidikan, menurut beliau bukan sekadar menghasilkan pekerja atau pakar teknikal. Tujuan sebenar pendidikan ialah melahirkan insan beradab dan manusia yang memahami tanggungjawabnya kepada Tuhan, masyarakat dan dirinya sendiri.
Beliau juga memberi satu takrif ilmu yang sangat terkenal dalam dunia intelektual Islam. Menurut Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib, ilmu ialah ketibaan makna yang benar ke dalam jiwa, yang membawa manusia mengenal hakikat sesuatu dan meletakkannya pada tempat yang tepat.
Dengan kata lain, ilmu bukan sekadar maklumat atau kemahiran, tetapi satu proses pembentukan kefahaman yang melahirkan adab dan kebijaksanaan.
Dari sinilah lahir gagasan besar beliau tentang pembinaan tamadun. Bagi beliau, tamadun Islam terbina daripada ilmu yang benar, adab yang terpelihara dan pandangan alam yang berteraskan wahyu.
Kemajuan bukan sekadar bangunan tinggi atau teknologi canggih tetapi masyarakat yang memiliki kejelasan ilmu dan kemuliaan akhlak.
Dalam perbincangan hari ini tentang pembinaan masyarakat yang beradab dan bertamadun termasuk gagasan seperti Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Dato’ Sri Anwar bin Ibrahim yang berakar dari pemikiran Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib, sebenarnya memberi asas intelektual yang lebih mendalam tentang apa makna sebenar sebuah masyarakat madani: masyarakat yang dibina atas ilmu, adab dan pandangan alam yang benar.
Hakikatnya, ulama bukanlah orang yang sekadar pandai membuat lawak di pentas atau menjadi figura popular. Ramai lagi ulama Melayu yang mungkin tidak dikenali ramai, tetapi mereka menabur jasa dengan mendidik, menulis, dan membina pemikiran umat. Mereka menyemai ilmu, bukan menabur fitnah. Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib adalah contoh terbaik golongan ini.
Cara paling bermakna untuk mengenang beliau bukan sekadar dengan ucapan takziah atau nostalgia. Cara paling sesuai ialah dengan menghidupkan kembali semangat idealisme beliau yang menghormati ilmu, mengembalikan adab dalam wacan, dan membina masyarakat yang benar-benar berteraskan ilmu dan wahyu.
Justeru itu, warisan sebenar seorang ulama bukan sekadar nama yang disebut, tetapi pandangan alam dan sarwa yang terus hidup dalam umatnya.
Dari pesantren kini seorang penyelidik di badan pemikir terulung di Malaysia, Mohamad Daniel Syafiq bin Mohan Sulaiman berusaha menjadi jambatan panduan tradisi dan masalah kontemporari dalam menterjemahkan prinsip Syariah dan aplikasi Maqasid Syariah.