Nuzul Quran: Dari kepompong Gua Hira’ ke pembinaan tamadun

Oleh: Mohamad Daniel Syafiq bin Mohamad Sulaiman

Setiap kali tiba bulan Ramadan, umat Islam memperingati peristiwa Nuzul al-Quran yang merupakan detik turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’. Namun peristiwa ini bukan sekadar kenangan sejarah atau ritual tahunan dalam kalendar keagamaan. Nuzul al-Quran sebenarnya menandakan permulaan sebuah perubahan besar dalam sejarah manusia: lahirnya satu peradaban yang dibina atas asas wahyu, ilmu dan nilai kemanusiaan.

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia. Firman Allah SWT: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan tentang petunjuk serta pembeza antara yang benar dan yang batil” (Surah al-Baqarah: 185). Ayat ini menegaskan bahawa al-Quran membawa mesej universal yang melangkaui batas bangsa, geografi dan zaman.

Dalam erti kata yang lebih luas, al-Quran hadir untuk membina manusia, membentuk masyarakat dan akhirnya melahirkan sebuah tamadun yang berteraskan nilai. Hakikat ini diperkukuhkan oleh firman Allah SWT: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam” (Surah al-Anbiya’: 107).

Konsep rahmat sekalian alam inilah yang menjadi teras kepada naratif besar Islam yang menegaskan bahawa misi risalah Nabi Muhammad SAW bukan hanya untuk membimbing umat Islam semata-mata tetapi untuk membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan alam.

Dalam tradisi intelektual Islam, para sarjana telah lama menegaskan bahawa syariat Islam mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar pelaksanaan hukum-hakam. Ulama seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Shatibi dan Ibn Ashur menjelaskan bahawa syariat mempunyai objektif yang dikenali sebagai Maqasid Syariah yakni memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Kelima-lima prinsip ini menggambarkan bahawa syariat Islam sebenarnya bertujuan melindungi kesejahteraan manusia secara menyeluruh lagi holistik. Islam hadir untuk menegakkan keadilan, menjaga maruah manusia, memelihara kehidupan dan memastikan keseimbangan sosial. Apabila difahami dalam kerangka maqasid, al-Quran sebenarnya membina satu etika peradaban yang menekankan keadilan sosial, penghormatan terhadap ilmu dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sejarah membuktikan bahawa apabila al-Quran dijadikan asas kehidupan, maka telah melahirkan sebuah tamadun ilmu yang gemilang. Dalam beberapa abad selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW, dunia Islam menyaksikan kemunculan pusat-pusat keilmuan seperti Baghdad, Cordoba dan Kaherah yang menjadi pusat perkembangan sains, falsafah, perubatan dan matematik.

Ahli sejarah Islam yang terkenal, Ibn Khaldun menjelaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun bergantung kepada kekuatan idea dan nilai yang menggerakkan masyarakat. Dalam konteks tamadun Islam, wahyu memainkan peranan sebagai sumber nilai yang menyatukan masyarakat dan memberikan arah kepada pembangunan sosial. Melalui wahyu, masyarakat Arab yang sebelumnya berpecah kepada pelbagai kabilah berjaya disatukan menjadi satu umat yang mampu membina sebuah tamadun yang besar dan berpengaruh.

Malek Bennabi

Malek Bennabi

Pemikir Islam moden Malik Bennabi pula menegaskan bahawa kebangkitan sesebuah tamadun bermula daripada idea yang membentuk manusia. Dalam pemerhatian beliau, al-Quran telah melahirkan manusia yang memiliki kesedaran moral, intelektual dan tanggungjawab sosial.

Menurut Bennabi, tamadun terbina melalui interaksi antara manusia, idea dan sumber material. Dalam kerangka ini, al-Quran berperanan sebagai idea penggerak yang membentuk manusia sehingga mampu membina masyarakat yang beretika dan berperadaban. Tanpa kekuatan idea dan nilai, pembangunan material semata-mata tidak mampu melahirkan sebuah tamadun yang seimbang dan berperikemanusiaan.

Dalam marcapada yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti konflik geopolitik, ketidaksamarataan sosial, krisis alam sekitar serta penindasan  yang melampau dan peperangan yang menekan kestabilan dunia, mesej al-Quran tentang rahmat sekalian alam menjadi semakin relevan.

Dalam konteks hari ini, dunia digital kerap kali menjadi medan perdebatan yang merugikan dan memecahbelahkan masyarakat. Polarisasi ekstrem baik dari kaca mata politik dan kaum, penyebaran berita palsu lagi fitnah serta budaya membenci di media sosial menunjukkan kelompangan dan hakisan nilai budi. Di sinilah pendekatannal-Quran menawarkan solusi melalui prinsip tabayyun (penyelidikan kesahihan) dan perbahasan secara hikmah (jadilhum billati hiya ahsan). Al-Quran mengajarkan kita bahawa perbezaan pandangan harus diuruskan dengan adab dan empati demi memelihara kesatuan ummah. Perbezaan itu adalah tanda kekuasaan Allah SWT.

Di peringkat antarabangsa pula, krisis kemanusiaan berterusan seperti tragedi di Gaza menyerlahkan keruntuhan sistem keadilan global yang hanya dikuasai kepentingan politik. Malah, pertembungan terbaharu yang mengheret Iran dan negara-negara Teluk ke lembah peperangan demi mengukuhkan kekuasaan membuktikan betapa dunia hari ini sangat ketandusan nilai dan keadilan. Melalui lensa Maqasid Syariah, prinsip Hifz al-Nafs (pemeliharaan nyawa) yang digariskan oleh al-Quran mendesak kita bangkit menentang kezaliman. Rahmat sekalian alam bermaksud Islam tidak pernah bertoleransi dengan penindasan ke atas mana-mana manusia dan menegaskan bahawa hak kebebasan serta keamanan adalah milik semua.

Oleh itu, memperingati Nuzul al-Quran tidak seharusnya terhenti pada aspek perayaan semata-mata. Ia sepatutnya mengingatkan kita bahawa al-Quran adalah sumber nilai dan panduan yang mampu membentuk masyarakat yang adil, berilmu dan berperikemanusiaan.

Selain itu, al-Quran mengesa umat Islam untuk memperjuangkan keadilan sosial, memelihara martabat manusia, menyebarkan ilmu serta menjaga keseimbangan alam dan sekitar sebagai amanah Tuhan. Inilah asas kepada pembinaan sebuah tamadun yang menjadikan nilai kemanusiaan, ilmu dan keadilan sebagai teras pembangunan tamadun.

Walhasil, memperingati Nuzul al-Quran bukan sekadar mengenang peristiwa turunnya wahyu, tetapi juga menghidupkan kembali semangat al-Quran dalam kehidupan manusia. Al-Quran bukan hanya kitab bacaan santai tetapi sumber idea dan inspirasi yang mampu membimbing manusia dalam membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera. Dalam konteks inilah Nuzul al-Quran harus difahami sebagai permulaan kepada sebuah projek peradaban yang berteraskan rahmat sekalian alam.