Sistem Baharu Tabung Haji, Jangan Sampai Hilang Giliran

Kalau selama ini kita fikir cukup sekadar ada akaun Tabung Haji dan menyimpan duit sedikit demi sedikit sudah memadai untuk dapatkan giliran. Sistem baharu mulai 2026 mengubah cara kita melihat simpanan haji.

Sekarang satu akaun Tabung Haji dibahagikan kepada dua iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah. Perubahan ini bukan sekadar membahagikan simpanan kepada dua tabung. Setiap satunya mempunyai fungsi yang berbeza.

Jadi, apa beza Tabung Am dengan Tabung Istito’ah?

Tabung Am Untuk Simpanan, Tabung Istito’ah Untuk Bukti Mampu

Tabung Am ialah tempat duit masuk terlebih dahulu. Gaji, bank-in atau potongan simpanan akan masuk ke sini. Kalau perlukan duit, pengeluaran dibuat daripada Tabung Am.

Tabung Istito’ah pula ialah tabung khas untuk menunjukkan seseorang benar-benar mempunyai kemampuan kewangan untuk menunaikan haji. Maksudnya, duit yang banyak dalam Tabung Am sahaja tidak semestinya dikira untuk tujuan giliran haji. Duit itu perlu berada dalam Tabung Istito’ah.

Kenapa Perlu Ada RM15,000?

Ini angka yang pendeposit perlu ambil serius. RM15,000 ditetapkan sebagai jumlah minimum berkaitan kelayakan mendapatkan giliran haji secara automatik.

Jumlah itu merupakan bayaran minimum haji bagi golongan yang kurang mampu atau B40. Kos sebenar haji ialah RM33,300, manakala RM18,300 ditanggung sebagai subsidi oleh kerajaan.

Jadi konsepnya mudah, sebelum seseorang dianggap mampu, mesti ada jumlah minimum yang menunjukkan kemampuan kewangan tersebut.

Sudah Lama Daftar Haji, Masih Selamat?

Ini yang paling penting. TH memberikan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 kepada pendeposit yang sudah mempunyai pendaftaran haji. Dalam tempoh itu, pendeposit perlu memastikan jumlah yang ditetapkan dipenuhi.

Kalau selepas 1 Januari 2029 masih belum mencapai RM15,000, giliran sedia ada boleh terjejas dan penyusunan semula akan dibuat berdasarkan pendeposit yang memenuhi syarat. Maknanya, orang yang sudah daftar sejak lama tetapi simpanannya tinggal RM1,500 tidak boleh menganggap giliran lama akan kekal selama-lamanya.

Pada masa sama, pendeposit baharu yang memenuhi jumlah ditetapkan boleh berada dalam susunan giliran berdasarkan sistem baharu.

Pendeposit Perlu Semak Status Haji

Melalui aplikasi THiJari, pendeposit boleh menyemak status dan membuat pindahan daripada Tabung Am ke Tabung Istito’ah apabila memenuhi syarat. Selepas pindahan dibuat, status giliran haji boleh disemak melalui aplikasi tersebut.

Perubahan ini bukan sekadar soal tukar nama tabung. Ia melibatkan giliran haji yang selama ini dianggap sebagai sesuatu yang sudah terjamin selepas pendaftaran. Kalau sudah lama daftar, jangan anggap semuanya selesai. Semak jumlah baki dalam Tabung Am dan Tabung Istito’ah serta status giliran.

Kalau belum cukup RM15,000, kira berapa lagi yang perlu disimpan. Sebab akhirnya, soalan paling penting bukan lagi sekadar sudah daftar haji atau belum. Tetapi, adakah simpanan sudah memenuhi syarat untuk memastikan giliran haji?