Lembaga Pengampunan: Adakah Keadilan Sekali Lagi Diringankan?

Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat Jumaat ini, dengan salah satu agenda penting dipercayai membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Masa dan tempat mesyuarat tidak didedahkan, sekali gus menjadikan isu ini kembali menjadi perhatian.

Persoalannya, adakah permohonan Najib kali ini akan mendapat ‘perkenan’ Lembaga Pengampunan?

Siapa Sebenarnya Membuat Keputusan?

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda hukuman atau meringankan hukuman bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan. Lembaga Pengampunan pula berperanan memberikan nasihat kepada baginda.

Bagi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, keanggotaannya terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi, Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Peguam Negara pula perlu memberikan pandangan bertulis yang akan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.

Walaupun Menteri Wilayah Persekutuan ialah anggota Lembaga Pengampunan, namun beliau hanya mampu memberi nasihat dan bergantung kepada Yang di-Petuan Agong secara mutlak untuk membuat keputusan.

Rasuah Tetap Rasuah, Siapa Pun Pelakunya

Dalam Titah Diraja pada 19 Januari 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa rasuah mesti diperangi tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Baginda turut menyifatkan mereka yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah sebagai ‘pengkhianat negara’.

Titah Tuanku ini bukan sekadar untuk didengar ketika perhimpunan rasmi, kemudian dilupakan apabila berdepan dengan nama besar. Kalau benar rasuah ialah pengkhianatan terhadap negara, maka perjuangan membanterasnya juga mesti berani berdepan dengan sesiapa sahaja.

Sebab itu, masyarakat perlu menyokong titah Tuanku. Kita tidak boleh hanya marah apabila wang rakyat hilang, tetapi mula mencari alasan apabila pesalahnya seorang bekas Perdana Menteri. Maruah negara bukan terletak pada siapa yang memegang kuasa, tetapi pada keberanian kita menegakkan keadilan tanpa pilih bulu.

Kesalahan Sudah Dibuktikan, Hukuman Sudah Diringankan

Isu tahanan rumah Najib bukan cerita baru. Sebelum ini, perkara tersebut sudah dibawa ke mahkamah susulan dakwaan wujudnya Titah Adendum yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di rumah. Namun, Mahkamah Tinggi pada 22 Disember 2025 menolak permohonan Najib selepas mendapati isu tahanan rumah itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara turut menjelaskan bahawa permohonan pengampunan, termasuk permohonan untuk menjalani baki hukuman di rumah, perlu melalui Lembaga Pengampunan. Jadi, perkara ini bukan boleh diputuskan melalui saluran lain sesuka hati.

Najib telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International melibatkan RM42 juta dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Rayuan beliau di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagaimanapun gagal, sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.

Namun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Kini, selepas hukuman itu pun sudah diringankan, timbul pula persoalan tentang baki hukuman yang mahu dijalani di rumah. Kalau hukuman mahu diringankan lagi, apa sebabnya? Dan apakah pendirian yang kita mahu pegang dalam kes rasuah yang melibatkan wang awam sebegini?

Persoalannya, apa yang kita mahu ajar anak cucu kita? Bahawa rasuah itu salah, tetapi kalau pelakunya orang besar, hukuman boleh diringankan lagi?