Wajarkah diberikan pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak? Benarkah beliau mangsa keadaan? Kalau taktahu, kenapa beliau cuba ‘sembunyikan’?
Sebelum ini, pada awal 2024, hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Kini, pintu pengampunan cuba dibuka seluas-luasnya?
Namun, masyarakat tidak boleh lupa kronologi hitam pelbagai institusi dan undang-undang negara ‘dilumpuhkan’ Najib, semata-mata untuk menutup skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia ini.
Sekat Media, Halang Maklumat
Langkah awal membendung krisis ini bermula dengan menyekat kebebasan media. Apabila penerbitan akhbar seperti The Edge membongkar kepincangan transaksi 1MDB, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan pada Julai 2015.
Mahkamah Tinggi akhirnya membatalkan penggantungan The Edge selepas mendapati keputusan kerajaan dibuat secara tidak sah, selain melanggar prinsip keadilan asasi dan prosedur.
Malah, portal berita seperti Sarawak Report turut disekat oleh SKMM pada Julai 2015 atas alasan mahu menunggu siasatan Pasukan Petugas Khas selesai. Hakikatnya, sekatan ke atas portal berita itu berlarutan sehingga hampir tiga tahun, dan hanya dibuka semula pada Mei 2018 selepas pertukaran kerajaan.
Pecat Peguam Negara, Tukar Pegawai Penyiasat
Apabila siasatan Pasukan Petugas Khas semakin kemuncak pada Julai 2015, Tan Sri Abdul Gani Patail secara tiba-tiba ditamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara atas alasan ‘kesihatan’. Tempat beliau digantikan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tepat ketika draf pertuduhan kes itu didakwa sedang disiapkan.
Siasatan tidak berhenti di situ sahaja. Pasukan Petugas Khas 1MDB yang menggabungkan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis dibubarkan secara mendadak selepas SPRM memaklumkan peranan pasukan itu tidak lagi diperlukan atas nasihat Peguam Negara baharu.
Keadaan jadi semakin parah apabila pejabat SPRM diserbu pihak polis, manakala beberapa pegawai kanan yang mengetuai siasatan kes SRC dan 1MDB dipindahkan secara serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri.
Tekanan Terhadap Pentadbiran dan Parlimen
Campur tangan Najib bukan hanya terhad kepada badan penyiasat. Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pernah mendedahkan di mahkamah bahawa beliau secara rasmi diarahkan oleh Najib untuk tidak campur tangan atau menghantar pasukan audit ke dalam siasatan 1MDB.
Di peringkat Parlimen pula, siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhenti pertengahan jalan selepas pengerusi dan tiga anggotanya dilantik secara tiba-tiba menyertai Kabinet, sekali gus melumpuhkan prosiding jawatankuasa tersebut.
Guna Undang-Undang Keselamatan Menentang Pengkritik
Tindakan terdesak untuk menutup kesalahan 1MDB makin melarat apabila Najib tergamak menyalahgunakan undang-undang keselamatan untuk ‘mengunci’ mulut pengkritik.
Pengkritik 1MDB seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu sebuah akta terorism hanya kerana membuat laporan polis di Switzerland, London, dan Paris berkaitan penyelewengan dana tersebut.
Adakah Undang-Undang Hanya untuk Rakyat Marhaen?
Daripada penggantungan media, pemecatan Peguam Negara, gangguan siasatan PAC dan SPRM, sehinggalah penahanan di bawah SOSMA, semua ini membuktikan betapa terdesaknya usaha Najib untuk menyembunyikan kebenaran skandal 1MDB.
Sebab itu, apabila permohonan pengampunan atau kelonggaran hukuman terus dituntut, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah mesej yang mahu disampaikan Najib Razak kepada sistem perundangan negara?
Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan sabitan bersalah berdasarkan bukti fakta yang kukuh. Jika pesalah yang pernah menggunakan segala instrumen kuasa untuk menutup kesalahannya, akhirnya diberikan pelepasan mudah. Apa lagi nilai ‘kedaulatan undang-undang’ yang tinggal untuk dipertahankan?
Adakah kita mahu mengajar generasi akan datang bahawa undang-undang hanya terpaksa dipatuhi oleh rakyat kecil, manakala golongan berkuasa sentiasa mempunyai pintu belakang untuk terlepas daripada hukuman?