Festival Turath Islami Malaysia: Menghidupkan Semula Warisan Ilmu Islam

Hari ini, maklumat agama hanya di hujung jari. Namun dalam lambakan maklumat itu, masyarakat masih berdepan tekanan hidup, kegelisahan dan kekosongan jiwa.

Dalam keadaan ini, sebuah kitab tasawuf yang ditulis ratusan tahun lalu kembali diketengahkan melalui Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026. Festival yang dinaik taraf daripada peringkat Selangor ke peringkat kebangsaan ini mengangkat tema ‘Hikmah Warisan Islam’ dengan Al-Hikam al-Ata’iyyah karya Ibnu Atha’illah As-Sakandari sebagai kitab tumpuan.

Persoalannya, apa yang ada dalam kitab lama ini sehingga masih dianggap relevan untuk masyarakat hari ini?

Apa Itu Kitab Turath?

Turath Islam ialah warisan intelektual yang ditinggalkan oleh ulama terdahulu dalam pelbagai bidang ilmu. Ia bukan sekadar kitab lama yang disimpan di perpustakaan, tetapi mengandungi panduan tentang agama, hukum, akhlak dan kehidupan.

Antara bidang yang terkandung dalam khazanah turath ialah tafsir, hadis, fekah dan tasawuf. Melalui karya-karya ini, ilmu Islam diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Al-Hikam Dan Penyakit Jiwa Zaman Sekarang

FTIM 2026 memilih Al-Hikam al-Ata’iyyah sebagai kitab utama. Karya ini ditulis oleh Ibnu Atha’illah As-Sakandari, seorang ulama besar yang lahir di Iskandariah, Mesir. Beliau membesar dalam keluarga yang mempunyai tradisi keilmuan Islam yang kuat dan sejak kecil mendalami ilmu agama.

Ibnu Atha’illah mempelajari pelbagai bidang ilmu termasuk tafsir, hadis, fekah, usul dan bahasa Arab. Beliau turut berguru dengan ramai ulama pada zamannya, termasuk Abu al-Abbas al-Mursi, sebelum mendalami bidang tasawuf dan menjadi antara tokoh penting dalam Tarekat Syadziliyyah.

Beliau menghasilkan beberapa karya dalam bidang keislaman, namun Al-Hikam al-Ata’iyyah menjadi karya beliau yang paling masyhur. Kitab ini menghimpunkan hikmah berkaitan tauhid, keikhlasan, tawakkal, adab dengan Allah dan perjalanan rohani menuju makrifatullah.

Pemilihan ini sangat dekat dengan keadaan masyarakat hari ini. Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan teknologi, media sosial dan pelbagai kemudahan, tetapi pada masa sama ramai berdepan tekanan, keresahan dan kekosongan makna.

Kita boleh dapat hampir apa sahaja dengan telefon di tangan, tetapi ketenangan jiwa tidak boleh dicari hanya dengan teknologi. Dalam keadaan masyarakat semakin mengejar dunia, Al-Hikam mengajak manusia melihat semula keadaan hati, niat dan pergantungan kepada Allah.

Apa Yang Akan Ada Di FTIM 2026?

FTIM 2026 berlangsung selama lapan hari, dari 13 hingga 20 September, dengan sebahagian besar acara berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya. Festival ini menghimpunkan 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa dalam lebih 42 sesi pengajian.

Antara pengisian utama ialah Daurah Al-Hikam selama lima hari dalam 15 sesi, selain Kuliah Subuh, talaqqi kitab, bacaan Dalail al-Khairat, Tausiah Perdana, qasidah dan Festival Buku Islami.

Festival ini juga dijangka menerima sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung, menunjukkan pengajian turath mempunyai ruang untuk didekati masyarakat secara lebih luas.

Malaysia Jadi Tumpuan Ilmu Islam

Buat julung kalinya, Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan turut diadakan bagi menghimpunkan ilmuwan Islam dari seluruh negara untuk memperkukuh kerjasama intelektual dan membincangkan cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.

FTIM 2026 turut menghimpunkan ulama dari Mesir, Maghribi, Malaysia, Indonesia dan Thailand, sekali gus menjadi wadah pertemuan ulama, ilmuwan dan pencinta ilmu dari dalam serta luar negara.

Antara tokoh yang dijadualkan hadir ialah Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah dari Mesir, Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri dari Maghribi dan Ustaz Dr. Adi Hidayat dari Indonesia.

Sambutan edisi terdahulu juga menarik peserta dari Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand. Dengan FTIM kini dibawa ke peringkat nasional, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi salah satu lokasi penting pertemuan ulama dan pencinta ilmu Islam di rantau ini.

Bukan Untuk Golongan Agama Sahaja

Turath bukan hanya untuk ustaz atau mereka yang belajar di pondok dan universiti Islam. Pengisian FTIM turut membuka ruang kepada masyarakat umum untuk mengenali dan memahami *Al-Hikam*, termasuk mereka yang baru mahu mendekati kitab tersebut.

Ini penting kerana kalau kitab hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu, usaha menghidupkan turath tidak akan sampai kepada masyarakat secara lebih luas.

Apa Yang Kita Tinggalkan Untuk Generasi Seterusnya?

Hari ini, generasi muda terdedah kepada begitu banyak sumber maklumat agama. Dalam beberapa saat sahaja, mereka boleh mencari ceramah dan pandangan agama di media sosial. Tetapi banyaknya maklumat tidak semestinya bermaksud seseorang itu benar-benar mempunyai ilmu.

Sebab itu tradisi ilmu yang mempunyai guru, disiplin, talaqqi dan sanad masih penting. FTIM 2026 bukan sekadar menghidupkan kembali kitab lama, tetapi memastikan warisan ilmu ini terus dikenali dan difahami oleh generasi baharu.

Kalau generasi hari ini tidak mengenali warisan ilmu Islam, siapa yang akan mewariskannya kepada generasi akan datang?