Hampir RM1 bilion setahun. Itulah beban hutang FELDA yang terpaksa ditanggung kerajaan Persekutuan selama 10 tahun akibat kegagalan kerajaan terdahulu. Bagaimana sebuah institusi yang diwujudkan untuk membasmi kemiskinan akhirnya menjadi beban hutang yang terpaksa diselamatkan kerajaan?
Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengumumkan peruntukan RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman sukuk FELDA serta membantu menyelesaikan hutang para peneroka demi memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Tetapi adilkah seluruh rakyat dipaksa membayar hutang dari keputusan pelaburan yang dibuat ketika FELDA berada di bawah pengurusan kerajaan yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional selama puluhan tahun?
FELDA ditubuhkan pada 1956 sehingga 2018, iaitu lebih enam dekad. Dalam tempoh yang panjang itu, FELDA berkembang daripada sebuah agensi pembukaan tanah kepada sebuah institusi yang menguruskan aset dan pelaburan bernilai berbilion ringgit.
FELDA pada asalnya diwujudkan untuk membuka tanah, membasmi kemiskinan dan memberi peluang kepada petani kecil, khususnya masyarakat Melayu, memiliki tanah serta kehidupan yang lebih baik. Melalui FELDA, peneroka membina rumah, mengusahakan getah dan kelapa sawit serta membesarkan anak-anak selain berharap kehidupan itu dapat diwariskan kepada generasi seterusnya namun kini menjadi beban negara. Dimana silapnya?
Kegagalan FELDA Wellness Corporation (FWC)
FWC ditubuhkan pada 17 Julai 2013 dalam bidang biofarmaseutikal. Namun, sejak awal lagi, cara syarikat ini menerima dana dan membuat pelaburan menimbulkan persoalan. Modal awal sebanyak RM5 juta diberikan tanpa kajian usaha wajar yang mencukupi bagi menentukan sama ada projek tersebut benar-benar berdaya maju. Lebih mengejutkan, FWC menerima RM102 juta daripada FELDA tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA.
Sebanyak RM24.1 juta pula dilaburkan dalam dua syarikat swasta di Amerika Syarikat dan Australia yang baru ditubuhkan sekitar setahun. Pelaburan tersebut juga dikatakan dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa pelaburan atau lembaga berkaitan. Namun, syarikat itu kemudiannya mencatatkan kerugian dan menanggung hutang kira-kira RM154 juta selepas hanya lebih kurang dua setengah tahun beroperasi.
Dalam masa yang sama, timbul dakwaan dana syarikat digunakan untuk membayar gaji dan kos sara hidup anak seorang pegawai di Australia.
Pelaburan Hartanah Luar Negara Yang Meleburkan
Pelaburan hartanah FELDA di London dan Wembley menelan ratusan juta ringgit melalui FELDA Investment Corporation atau FIC, iaitu anak syarikat yang digunakan FELDA untuk membuat pelaburan.
Antaranya ialah Grand Plaza Kensington Hotel di London yang dibeli pada harga sekitar £60 juta, bersamaan kira-kira RM330 juta. Lebih membimbangkan, kewujudan hotel tersebut sendiri pernah dipersoalkan apabila nama syarikat pemilik, FIC London Hotel (Private) Limited, dalam rekod FELDA tidak sepadan dengan rekod syarikat di United Kingdom. Syarikat yang dikaitkan dengan pemilikan hotel itu pula didaftarkan di British Virgin Islands.
Persoalannya, adakah hotel yang dibeli menggunakan wang FELDA itu benar-benar wujud seperti yang dilaporkan, siapa pemilik sebenar dan di mana aset tersebut berada?
Lebih mengejutkan, daripada transaksi pembelian itu, kira-kira £14 juta atau sekitar RM75 juta digunakan untuk memperoleh saham syarikat yang dikaitkan dengan hotel tersebut. Sedangkan nilai saham syarikat itu hanya sekitar AS$5,000, bersamaan kira-kira RM20,500. Pembelian saham itu pula dibuat atas nama dua bekas pengarah FIC tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FIC dan kemudiannya dilaporkan kepada SPRM.
Bukan itu sahaja, di Wembley, FELDA melalui FIC turut membeli Felda House dan Grand Felda House dengan nilai keseluruhan sekitar £167.76 juta. Pembelian tersebut tidak dibentangkan kepada Lembaga Pengarah FELDA sebelum dibuat walaupun nilainya melebihi RM100 juta. Malah, dalam satu transaksi, tanah Grand Felda House dibeli pada harga £17 juta sebelum dijual kepada syarikat berkaitan FIC pada harga £24 juta hanya 13 hari kemudian.
Rakyat Akhirnya Terpaksa Menanggung Beban
Apabila pelaburan gagal, syarikat mengalami kerugian dan kos pengambilalihan meningkat, beban itu tidak hilang begitu sahaja. Hutang tersebut akhirnya kembali kepada FELDA, kerajaan dan rakyat. Kertas Putih FELDA sendiri merekodkan bahawa pengurusan kewangan yang lemah dan kepincangan tadbir urus memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan Kumpulan FELDA.
Rekod itu juga menunjukkan kumpulan FIC menerima pendahuluan dan pinjaman dalam jumlah besar, termasuk pembiayaan yang dikaitkan dengan FELDA House dan Grand Felda House. Sebab itu, angka hutang hampir RM1 bilion setahun bukan sekadar angka di atas kertas. Ia menggambarkan beban kewangan yang perlu ditanggung kerajaan untuk memastikan FELDA terus berfungsi dan peneroka tidak terabai.
Tetapi wang kerajaan ialah wang rakyat. Setiap ringgit yang digunakan untuk menyelamatkan FELDA ialah wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk pendidikan, kesihatan, pembangunan luar bandar dan keperluan rakyat lain.
Inilah masalah sebenar. FELDA diwujudkan untuk mengangkat peneroka keluar daripada kemiskinan, tetapi keputusan pengurusan yang dipersoalkan akhirnya menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar.
FELDA dibina untuk mengangkat bangsa akhirnya dikhianati. Sia-sia keringat peneroka akhirnya tenggelam dalam ketamakan dan projek sakau, sementara anak-anak peneroka sebenar menunggu pembelaan dan keadilan.