Pernah tak kita buka TikTok sekadar nak tengok satu video, tetapi akhirnya tersedar sudah hampir satu jam berlalu?
Satu video disusuli video lain. Berita buruk, kemalangan, pergaduhan, politik dan pelbagai kontroversi terus muncul di skrin. Kita tahu semua ini buat kita penat, tetapi jari tetap scroll.
Inilah yang dikenali sebagai doom scrolling iaitu tabiat scroll kandungan negatif secara berterusan. Persoalannya, adakah kita benar-benar mengawal apa yang kita lihat, atau sebenarnya kandungan yang muncul di skrin semakin mempengaruhi kita?
Bila Kandungan Negatif Jadi Kebiasaan
Kandungan yang mencetuskan emosi kuat seperti marah, takut atau terkejut boleh membuatkan kita lebih lama memberikan perhatian.
Kita berhenti pada satu video kontroversi, kemudian berinteraksi dengan kandungan yang sama. Lama-kelamaan, lebih banyak kandungan serupa boleh muncul dalam feed media sosial kita.Sedangkan apa yang kita lihat di skrin bukan gambaran keseluruhan dunia.
Masalahnya, kita bukan lagi membuka media sosial untuk mencari maklumat. Kita mula membuka telefon hanya kerana sudah terbiasa untuk terus scroll.
Bukan Semua Perkara Perlu Kita Tahu
Dalam dunia yang terlalu banyak maklumat, kita seolah-olah takut ketinggalan. Takut terlepas berita. Takut tak tahu isu viral. Takut tak dapat ikut perbualan orang lain.
Tetapi tidak semua perkara perlu kita baca, tonton atau komen. Kalau setiap hari kita memenuhi fikiran dengan kandungan yang membuatkan kita marah dan gelisah, jangan hairan jika emosi kita sendiri turut terkesan.
Bagaimana Nak Berhenti?
Pertama, tetapkan had masa untuk aplikasi yang paling kerap digunakan. Jangan biarkan masa kita ditentukan oleh tabiat scroll.
Kedua, matikan notifikasi yang tidak penting. Tidak semua perkara perlu kita tahu sebaik sahaja ia berlaku.
Ketiga, elakkan membuka media sosial sebaik bangun tidur atau sebelum tidur. Berikan otak sedikit ruang tanpa skrin.
Keempat, bila sedar kita sudah scroll tanpa tujuan, berhenti dan buat perkara lain. Bangun, berjalan, minum air atau letakkan telefon jauh daripada tangan.
Paling penting, jangan takut untuk unfollow atau mute kandungan yang hanya membuatkan kita marah, takut dan gelisah.
Jangan Biar Skrin Mengawal Hidup Kita
Media sosial bukan musuh. Ia boleh menjadi sumber ilmu, berita dan hubungan dengan orang lain. Tetapi kita perlu tahu bila hendak berhenti.
Kita tidak perlu tahu semua perkara yang berlaku di dunia pada setiap saat. Kadang-kadang, meletakkan telefon dan menikmati kehidupan sebenar jauh lebih penting daripada mengetahui apa yang sedang viral.