Diyat mampu menegakkan keadilan restoratif

Isu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa saban tahun bukan sekadar statistik di atas kertas, malah ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang meninggalkan luka mendalam bagi waris mangsa yang ditinggalkan. Saban hari, kita disajikan dengan berita duka tentang kehilangan nyawa di jalan raya yang sering kali berpunca daripada kecuaian, pemanduan melulu, atau kegagalan mematuhi peraturan lalu lintas.

Ditambah pula dengan pelbagai ulasan netizen dalam media sosial, mereka bukan sahaja menuntut supaya keadilan untuk mangsa ditegakkan dengan seadil-adilnya, bahkan turut mendesak agar pelaku dikenakan hukuman keras yang setimpal dengan perbuatan mereka bagi memberi pengajaran kepada masyarakat awam.

Menyedari cabaran dan tuntutan sosial yang semakin meruncing ini, di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, konsep diyat kini menjadi salah satu agenda penting untuk diketengahkan sebagai instrumen keadilan bagi melindungi hak waris mangsa kemalangan sekali gus memperkukuh ekosistem perundangan negara.

Langkah proaktif ini dilihat mampu memberikan sinar baharu dalam sistem keadilan negara yang selama ini dikritik kerana kadangkala mengabaikan kebajikan mangsa selepas berlakunya sesuatu musibah.

Jika ditinjau dari sudut sistem perundangan sivil sedia ada di Malaysia, pesalah kemalangan maut biasanya berhadapan dengan hukuman denda yang tinggi atau hukuman penjara di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Walaupun hukuman ini memenuhi kriteria hukuman yang bersifat menghukum pesalah, persoalan besar yang lebih menimbulkan persoalan tentang keadilan yang hakiki adalah bagaimana pula nasib waris mangsa yang kehilangan punca pendapatan utama mereka.

Kehilangan seorang ketua keluarga bukan sahaja membawa kesedihan emosi yang berpanjangan, tetapi juga mengheret keluarga tersebut ke kancah kesempitan kewangan yang meruncing demi kelangsungan hidup.

Di sinilah diyat menawarkan kelebihan yang cukup signifikan untuk mengisi kelompangan tersebut. Diyat bukan sekadar hukuman semata-mata tetapi merupakan pampasan nyawa atau keadilan restoratif yang memfokuskan kepada pemulihan hak mangsa serta keluarganya.

Berbanding sistem sivil yang bersifat retributif iaitu membalas perbuatan pesalah dengan kurungan atau denda, diyat pula bersifat membela dan menyantuni kebajikan pihak yang teraniaya agar mereka tidak terus merana selepas kehilangan orang tersayang.

Dalam undang-undang sivil, denda yang dibayar oleh pesalah akan masuk ke dalam kantung kerajaan sebagai hasil negara dan tidak diserahkan kepada keluarga mangsa.

Sebaliknya, dalam kerangka diyat, pampasan kewangan tersebut disalurkan terus kepada waris mangsa yang berhak. Ini memberikan jaminan kelangsungan hidup yang sangat diperlukan kepada keluarga yang ditinggalkan, terutamanya jika si mati merupakan ketua keluarga atau tunggak ekonomi utama yang menyara persekolahan anak-anak dan keperluan harian rumah tangga.

Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa pelaksanaan diyat perlu diteliti secara mendalam dan berhati-hati kerana dalam soal keadilan, ia bukan sahaja berkisar tentang kompromi soal nyawa tetapi perlulah bertindak sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada demi kebaikan bersama.

Salah satu kelebihan diyat dalam perundangan Syariah adalah kewujudan konsep sulh atau perdamaian antara kedua-dua belah pihak. Jika waris mangsa memilih untuk memaafkan pesalah dengan bayaran diyat yang dipersetujui, ia boleh mengurangkan ketegangan sosial dalam komuniti dan memulihkan hubungan sesama manusia yang retak akibat kemalangan tersebut. Konsep keharmonian inilah yang sukar dicapai melalui tembok penjara yang tegar dalam sistem sivil sedia ada.

Selain itu, diyat dalam kerangka moden boleh diintegrasikan dengan sistem insurans atau takaful yang ada pada hari ini. Integrasi ini akan menjamin bahawa pampasan dapat dibayar secara sistematik dan berkesan tanpa membebankan kewangan pesalah secara melampau, sambil memastikan waris mendapat hak mereka dengan kadar segera.

Dalam sistem sivil semasa, proses tuntutan sivil bagi ganti rugi kemalangan atau tort sering kali memakan masa bertahun-tahun di mahkamah, walhal diyat berpotensi menawarkan penyelesaian yang lebih pantas melalui mekanisme pengesahan waris dan kadar pampasan yang jelas serta telus.

Usaha Kerajaan MADANI untuk meneroka dan melaksanakan konsep diyat ini adalah satu langkah progresif yang mengangkat martabat nyawa manusia ke kedudukan yang tertinggi. Ia membuktikan bahawa perundangan Islam tidak statik atau ketinggalan zaman, sebaliknya sentiasa menawarkan solusi praktikal bagi isu-isu kompleks yang dihadapi oleh masyarakat moden seperti kemalangan jalan raya.

Dengan mengimbangi antara hukuman sivil dan pampasan diyat, Malaysia mampu melahirkan satu sistem keadilan yang lebih holistik, kemanusiaan, dan seimbang. Keadilan sejati bukan hanya soal menghukum pesalah, tetapi turut memastikan mangsa dan warisnya disantuni secara saksama serta mendapat pembelaan yang sewajarnya demi masa depan mereka.