Negara kita sedang berdepan ancaman luar. Ini pengakuan Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat hasil nasihat agensi perisikan negara dan Majlis Keselamatan Negara. Malaysia kini dalam senarai sasaran serangan siber, dan ancaman musuh yang dikesan bergerak tak jauh dari sempadan negara kita.
Ancaman Yang Sudah Sampai Ke Pintu Negara
Dunia sedang bergolak. EU, Kanada dan Jepun sudah meminta rakyat mereka menyimpan stok makanan untuk tiga hingga sepuluh hari, susulan gelombang serangan siber yang melumpuhkan sistem kerajaan negara maju. Belgium terpaksa menutup portal cukai nasionalnya, daftar penduduk Denmark diceroboh sehingga hampir sembilan juta rekod terjejas, manakala di Jepun, rekod peribadi lebih 100,000 anggota polis terdedah.
Malaysia ada dalam radar. Menurut PMX, keupayaan digital negara dan pendirian kita dalam isu Gaza menjadikan kita sasaran. Antara yang dipantau ialah risikan Israel serta penempatan warganya di Phuket dan selatan Thailand, selain konflik Timur Tengah, Yaman dan Laut Merah.
Kerajaan bergerak pantas. MKN mengadakan mesyuarat khas, Ketua Setiausaha Negara mengetuai mesyuarat semua jabatan kerajaan, dan Gabenor Bank Negara bersidang dengan semua institusi kewangan. Lima langkah digerakkan, daripada melindungi bekalan tenaga, pengangkutan, kewangan dan makanan, sehinggalah menyediakan panduan kesiapsiagaan untuk setiap isi rumah. ATM dan PDRM pula berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
Satu Kaki Dalam Rumah, Satu Tangan Tebuk Atap
Malangnya sejak awal tahun, Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, menggesa partinya keluar dari Kerajaan Perpaduan dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS. Walaupun Zahid Hamidi menegaskan UMNO kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal, di peringkat negeri kerjasama dengan PAS terus disusun.
Di Melaka, ceritanya lebih jelas. Kerajaan negeri sebelum ini dikongsi BN bersama PH. Tapi menjelang PRN, UMNO sebulat suara mengesahkan pakatan dengan PAS dan PN, mengarahkan jenteranya membantu semua calon PN, malah akan melancarkan manifesto bersama.
CSA Dilabel Dajal
Kerajaan MADANI pula memilih jalan berbeza. Pada 29 Oktober, CSA dimeterai dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk Muhyiddin Yassin dan Syed Saddiq. Mereka bersetuju menyokong Belanjawan 2027 serta reformasi besar seperti mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Presiden PAS, Hadi Awang, melabel CSA sebagai pendekatan Dajal. Ironinya, pada 2021 PAS berada dalam kerajaan Ismail Sabri ketika kerajaan itu memeterai MOU dengan PH, satu pendekatan yang hampir sama. Ketika itu ia dipuji sebagai politik matang. Bila PAS di luar kerajaan, perkara serupa bertukar menjadi Dajal.
Malang sekali, ketika negara digoncang musuh dari luar, si kitol pula rancak membuat onar dari dalam. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.