Pada 29 Oktober, Parlimen menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku. Wakil kerajaan dan sekumpulan ahli Parlimen yang selama ini berada di kem berbeza duduk semeja dan menurunkan tandatangan pada satu perjanjian yang sama.
Mereka tidak menyertai kerajaan, tapi 13 ahli Parlimen dari luar blok kerajaan bersetuju untuk menyokong Kerajaan MADANI sehingga hujung penggal. Apa sebenarnya yang dipersetujui, dan kenapa ia penting?
Apa Yang Sebenarnya Ditandatangani?
Perjanjian ini dipanggil CSA, singkatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan. Dalam bahasa mudah, ahli Parlimen yang berada di luar kerajaan berjanji tidak menjatuhkan kerajaan dan akan meluluskan bajet. Sebagai balasan, kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa perkara.
Ia ditandatangani di pihak kerajaan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan penasihat politik kanan Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz. Di pihak satu lagi, ada enam ahli Parlimen Bersatu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang dipecat pada 2024 kerana menyokong kerajaan dan kini duduk sebagai ahli Parlimen bebas.
Antara perkara yang dituntut mereka ialah tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal, dan jawatan Peguam Negara dipisahkan daripada Pendakwa Raya. Semua ahli Parlimen yang menandatangani juga akan menerima peruntukan kawasan sama seperti ahli Parlimen kerajaan. Sebagai balasan, mereka menyokong Belanjawan 2027 dan pentadbiran sehingga Parlimen dibubarkan.
Formula Sama Yang Pernah Selamatkan Negara
CSA bukan perkara baharu. Pada 13 September 2021, kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan, yang ketika itu berada di pihak pembangkang.
Waktu itu negara baru keluar daripada kemelut Langkah Sheraton dan dihimpit COVID-19. Hasil MoU itu kita masih rasa hari ini. Undang-undang antilompat parti diluluskan pada 2022, dan budaya katak politik yang menjatuhkan kerajaan berkali-kali akhirnya disekat.
Bezanya, hari ini pihak yang dulu menandatangani sebagai pembangkang kini memerintah, dan mereka membuka pintu yang sama kepada sesiapa di luar kerajaan yang mahu berunding. Dengan majoriti yang sudah selesa, kerajaan MADANI sebenarnya tidak perlu berunding. Tapi rundingan tetap berlaku sehingga lapan sesi, demi satu persefahaman bertulis.
Peruntukan Untuk Rakyat, Reformasi Untuk Negara
Ada yang melabelkan perjanjian ini sebagai ‘sogok duit’. Hakikatnya, peruntukan kawasan tidak masuk ke poket ahli Parlimen. Ia pergi ke jalan kampung, surau dan bantuan setempat. Pengundi tak patut terjejas hanya kerana wakil rakyat mereka tidak duduk di sebelah kerajaan.
PMX sendiri jelaskan di Dewan Rakyat, ahli Parlimen pembangkang boleh terima peruntukan melalui CSA, sama seperti yang dibuat pada zaman Ismail Sabri. Malah, reformasi yang dipersetujui pula bukan perkara kecil.
Had dua penggal bermakna tiada Perdana Menteri boleh berkuasa terlalu lama. Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula bermakna keputusan mendakwa seseorang tidak lagi terletak di tangan penasihat undang-undang kerajaan. Kedua-duanya mengurangkan kuasa Perdana Menteri sendiri, dan kerajaan MADANI bersetuju untuk melaksanakannya.
Politik Matang Bermula Di Meja Rundingan
Politik matang bukan bermaksud semua pihak mesti sebulu. Ia bermaksud tahu membezakan antara persaingan politik dengan kepentingan negara.
Kerajaan MADANI dan pembangkang akan terus berbeza pandangan dalam banyak perkara, dan itu memang lumrah demokrasi. Tapi bila melibatkan urusan yang menyentuh isu rakyat, perbezaan itu diketepikan dan kerajaan memilih untuk berunding.
Inilah budaya yang mahu dibina, di mana lawan politik tidak dilihat sebagai musuh, tetapi rakan yang boleh diajak berbincang. Kerana pada akhirnya, kekuatan sebenar bukan pada siapa yang paling lantang menentang, tapi pada siapa yang sanggup duduk semeja demi rakyat.