‘Strawberi’, itulah label yang dilekatkan kepada Mukhlis Mubin, calon Pakatan Harapan yang berusia 24 tahun di DUN Kuala Linggi. Beliau seorang pemimpin mahasiswa, graduan undang-undang UKM dan juga jaguh debat peringkat antarabangsa. Tapi kenapa strawberi?
Istilah ini merujuk kepada generasi yang kelihatan yakin dan menyerlah, tetapi dianggap mudah rapuh apabila berdepan tekanan dan kritikan. Namun, wajarkan kerana usia muda beliau diperkecilkan atau inilah unjuran wajah politik masa depan?
Cara Politik Berganti Generasi
Setiap generasi ada cara politik tersendiri. Dulu Rafizi Generasi X membawa hujah dan data serta idea segar dalam politik Malaysia, kemudian datang Khairy Jamaluddin yang membawa wajah keras dan melawan dalam politik Umno yang terkenal dengan budaya feudal. Selepas itu Syed Saddiq daripada generasi Milenial membawa politik ke platform TikTok, LIVE, termasuk berlari sejauh 200 kilometer ke Parlimen bagi mengumpul dana untuk Muar.
Kini, muncul pula Mukhlis. Namanya mula mendapat perhatian setelah berjaya membantu persatuan nelayan tempatan yang dirudung masalah kewangan sejak bertahun. Selepas aduan itu dibawa kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, masalah berkenaan selesai dalam tempoh dua hari. Kisah itu tular dengan ungkapan “This is how Gen Z works”.
Sebagai anak muda Gen Z, Mukhlis membawa gaya politik tersendiri dengan menggabungkan pidato, kempen bersemuka di pasar malam dan penggunaan bahasa yang dekat dengan generasinya. Gaya rambutnya, imej visual, serta mesejnya dekat dengan Gen Z walaupun agak janggal dengan generasi yang berusia. Dia juga terbuka mengakui kelemahan dan kesilapan, serta tidak berpura-pura mengetahui segala-galanya ketika masih dalam proses belajar.
Muda Bukan Bererti Tidak Layak
Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW pernah melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima tentera ketika usianya masih muda sekitar 18 tahun. Pelantikan itu turut dipersoalkan, namun Rasulullah SAW mempertahankan kelayakannya dengan mengingatkan bahawa bapanya juga pernah memegang tanggungjawab kepimpinan dan layak melaksanakannya. Kisah ini menunjukkan bahawa usia bukan satu-satunya ukuran kemampuan seseorang memimpin.
Contoh lebih dekat ialah Zohran Mamdani yang dipilih sebagai Datuk Bandar New York pada 2025 ketika berusia 34 tahun. Usia dan pengalamannya turut menjadi bahan kritikan sepanjang kempen. Sepuluh bulan kemudian, sebahagian janjinya sudah mula ditunaikan.
Strawberi lawan buah Sukun
Kita sering mengeluh anak muda tidak berminat dengan politik. Tetapi apabila ada yang berani tampil, mereka pula diremehkan. Benar, Mukhlis masih perlu membuktikan kemampuan, tapi kehadiran beliau sendiri memberi isyarat orang muda kini tidak takut dikecam oleh orang tua yang masih mahu memeluk jawatan. Mungkin strawberi di Kuala Linggi lebih menakutkan bila anak muda tidak hanya diberi tugas lecehan atau sekadar budak suruhan sebaliknya menggalas harapan besar bagi generasinya sendiri.