Pada 30 Oktober, polis bersama JAIS, JAKIM, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menyerbu sebuah gudang di Kampung Sri Aman, Puchong, dalam Ops Taring Chiller. Lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai kira-kira RM85,400 dirampas, dan 12 pekerja warga Bangladesh dan Pakistan ditahan.
Kilang ini mengedarkan ayam-ayam ini ke kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras dan Putrajaya. Malah, ayam dari kilang ini difahamkan turut sampai ke pasar raya besar dan rangkaian restoran nasi kandar terkenal. Siasatan awal juga mendapati pemiliknya lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai beragama Islam.
Mesin Sepatutnya Melalikan, Bukan Membunuh
MAIS kemudian memperincikan bahawa premis itu menggunakan kaedah water bath stunning. Ayam digantung terbalik dan kepalanya dicelup ke dalam takungan air yang dialirkan arus elektrik namun laporan awal menyebut ayam direndam air panas sehingga mati.
Kaedahwater bath stunning sebenarnya dibenarkan dalam piawaian halal, dengan syarat renjatan itu cuma membuatkan ayam pengsan sementara. Sebab itu JAIS menetapkan voltan untuk kaedah ini mesti di bawah 10 volt. Masalahnya, voltan di kilang ini melebihi had sehingga 13 kali ganda, menyebabkan ayam mati sebelum sampai ke pisau.
Bayangkan ubat tidur yang sepatutnya menenangkan pesakit, tapi dos yang diberi membunuhnya. Yang disembelih selepas itu hanyalah bangkai.
20 Tahun Terlepas, Di Mana JAKIM?
Pensijilan halal di Malaysia adalah sukarela. JAKIM hanya memantau premis yang memohon dan memegang sijil halal. Maksudnya, JAKIM tidak boleh memaksa mana-mana Syarikat untuk mendapatkan sijil halal. Premis Puchong ini bukan saja tiada sijil, malah tiada lesen pihak berkuasa tempatan. Pendek kata, perniagaan ini menyembelih dan menjual ayam secara haram.
Tapi ini tidak bermakna premis ini langsung tidak dipantau. Sepanjang 20 tahun beroperasi, JAIS bersama agensi lain sudah membuat tiga hingga empat serbuan dan pemeriksaan di situ. Kilangnya tetap berjalan, dan serbuan kali ini merupakan yang pertama melibatkan polis.
Kali ini tindakannya lebih tegas. Premis diarahkan tutup dua minggu, Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan notis menyita peralatan operasinya, dan ayam yang dirampas menunggu untuk dilupuskan. Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan juga memberi jaminan JAKIM akan memperhebat pemeriksaan dan siasatan terhadap aduan yang diterima.
Kenapa Nama Syarikat Belum Didedahkan?
Dari segi undang-undang, suspek boleh menyaman mana-mana pihak yang menamakan mereka sebagai pesalah selagimana belum didakwa di mahkamah. Oleh sebab itu, kebiasaanya wartawan akan ambil gambar dengan mengaburkan wajah suspek. Wajah penuh beserta nama hanya boleh dipaparkan setelah pertuduhan dibacakan di mahkamah. Pendedahan terlalu awal juga boleh menjejaskan kes di mahkamah nanti.
Polis kini sedang mengenal pasti seluruh rangkaian bekalan dan pengedaran, termasuk premis yang menerima ayam dari kilang haram itu namun setakat ini pengedarannya telah terhenti setelah kilangnya tidak lagi beroperasi.
Halal Bukan Sekadar Logo
Langkah paling selamat ialah memilih ayam berlabel dengan logo halal JAKIM atau JAIN, dan bertanya kepada peniaga dari mana sumber ayam mereka. Bagi pemilik restoran, menyemak pembekal bukan lagi pilihan, tapi amanah kepada pelanggan.
Halal dan haram bukan dijaga dengan undang-undang semata-mata, tapi dengan takut kepada Allah, dan itulah yang hilang bila keuntungan lebih diutamakan daripada amanah.