Bila Anwar Ibrahim minta pengurusan UiTM Holdings disemak, terus ada yang bercakap seolah-olah UiTM sedang diserang.
Sedangkan isu itu dibangkitkan oleh seorang hadirin dalam sesi dialog bersama alumni UiTM sendiri. Dia bertanya tentang kerugian syarikat milik universiti. PMX menjawab: semak dahulu apa yang berlaku. Kalau kelemahan pengurusan, baiki. Kalau ada salah guna kuasa, ambil tindakan. Rugi semata-mata bukan bukti orang sakau.
Jadi, bahagian mana yang dikatakan mengganggu hak Melayu?
UiTM Untuk Anak Melayu, Duitnya Pergi Ke Mana?
Kerugian UiTM Holdings sekitar RM157 juta bukan cerita yang muncul semalam. PAC juga pernah membangkitkan suntikan modal RM259.98 juta oleh UiTM antara 2007 hingga 2018 tanpa kelulusan Menteri Kewangan seperti yang dikehendaki undang-undang.
Lebih serius, SPRM mengesahkan siasatan masih berjalan. Antara perkara yang diteliti ialah pembayaran RM42 juta berkaitan projek solar di Gambang yang dilaporkan dibuat untuk tujuan tidak kena mengena dengan projek malah tanpa kelulusan lembaga pengarah. Itu perkara yang perlu disiasat, bukan alasan untuk terus menghukum sesiapa.
UiTM dibina untuk membuka jalan kepada anak Melayu dan Bumiputera, termasuk anak keluarga susah, masuk universiti dan mengubah hidup. Sebab itu setiap keputusan melibatkan duit universiti patut boleh dijelaskan.
Kalau duit keluar, siapa luluskan? Kalau pelaburan rugi, apa puncanya? Kalau ada pihak melanggar amanah, siapa yang bertanggungjawab?
Kontrak UiTM Jadi Sumber Untung Peribadi
Pada 2013 negara gempar bila ada yang bangkit mempersoalkan kos pembinaan UiTM Tapah berjumlah RM285 juta namun nilai kontrak dibahagikan kepada 23 tahun yang akhirnya mencecah RM1.3 bilion. Konsesi ini merangkumi pembinaan dan penyelenggaraan menjadi angsa emas kepada Crest Builder dan Detik Utuh, syarikat yang mempunyai kaitan keluarga dengan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata kerugian tersebut ialah isu lama dan pelan pemulihan sedang dijalankan. Bagus kalau begitu. Tetapi pemulihan syarikat dan siasatan terhadap keputusan terdahulu ialah dua perkara yang boleh berjalan serentak.
Pertahan Benteng Melayu Dengan Menjaga Amanahnya
Kita pernah dengar hujah serupa apabila akaun Tabung Haji dan urusan FELDA disemak, seolah-olah bertanya tentang duit institusi Melayu bermaksud mahu menjatuhkan institusi itu.
Cuba terbalikkan soalan. Kalau kita benar-benar sayang UiTM, patutkah kita marah orang yang meminta akaunnya diperiksa? Atau patutkah kita marah kalau duit yang diamanahkan untuk anak Melayu tidak dijaga dengan betul?
Siasat sampai jelas. Kalau tiada salah laku, bersihkan nama mereka yang terlibat. Kalau ada penyelewengan, ambil tindakan.
UiTM bukan perisai untuk sesiapa. UiTM ialah amanah untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera.