AI Akan Ambil Kerja Kita?

Dulu bila kita cakap teknologi akan ambil kerja manusia, kita bayangkan robot masuk kilang dan pekerja kena ganti. Sekarang ceritanya dah berubah. AI bukan lagi benda yang jauh daripada kehidupan kita. Ia dah boleh tulis, analisis data, hasilkan gambar, buat kerja pentadbiran dan bantu manusia siapkan pelbagai tugasan dalam beberapa saat.

Sebab itu makin ramai mula risau. Kalau AI boleh buat kerja yang selama ini kita buat, jadi apa akan jadi dengan pekerjaan kita?

AI Memang Ubah Dunia Kerja

Kita tak boleh nafikan sebahagian kerja manusia memang akan berubah. Terutamanya kerja yang berulang, rutin dan mudah diproses menggunakan komputer.

World Economic Forum sendiri dalam Future of Jobs Report 2025 menyenaraikan AI dan Machine Learning Specialists antara pekerjaan yang berkembang di Malaysia, manakala pekerjaan seperti Data Entry Clerks pula dijangka menurun. Tapi ini bukan bermaksud semua orang akan hilang kerja.

Dalam banyak keadaan, AI mungkin cuma mengambil sebahagian tugas dalam sesuatu pekerjaan. Akauntan boleh guna AI untuk analisis data, pegawai pemasaran boleh guna AI untuk cari idea dan jurutera boleh guna AI untuk membantu kerja teknikal.

Maksudnya kerja kita mungkin berubah tapi tidak semestinya kerja kita terus hilang.

Bersediakah Kita Untuk Sektor Digital?

Pada masa yang sama, kita tak boleh lupa teknologi baru juga mencipta pekerjaan baru. Pada 2025, sektor Digital Services Malaysia mencatatkan RM150.1 bilion pelaburan yang diluluskan dengan jangkaan mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan. Angka ini merangkumi industri digital secara keseluruhan dan bukan AI semata-mata.

Sebab itu, apabila kita bercakap tentang AI, kita tak boleh teruskan simpulkan banyak pekerjaan yang akan hilang. Kita juga kena lihat berapa banyak pekerjaan baharu yang akan muncul.

Pekerjaan dalam AI, data analytics, cybersecurity dan teknologi digital semakin diperlukan. MIDA sendiri melihat AI sebagai peluang untuk membina ekosistem teknologi tempatan, meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia dan mewujudkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.

Masalah Sebenar Bukan AI

Teknologi boleh berubah dalam masa beberapa tahun, sedangkan seseorang pekerja mungkin melakukan pekerjaan yang sama selama 10 atau 20 tahun. Menurut MIDA, 79% profesional Malaysia menjangkakan peranan mereka akan berubah akibat AI, manakala 41% majikan menjangkakan pengambilan pekerja paling banyak berlaku dalam bidang teknologi.

Malah, TalentCorp mengenal pasti sekitar 620,000 pekerjaan dalam 10 sektor utama yang berpotensi terkesan oleh perubahan teknologi, AI dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Jadi persoalannya bukan sekadar AI akan ambil kerja kita atau tidak. Persoalannya ialah adakah kita sudah bersedia untuk kerja yang akan datang selepas pekerjaan kita berubah? Sebab itu usaha upskilling dan reskilling sangat penting.

Kalau syarikat Malaysia semakin menggunakan AI tetapi pekerja tidak belajar kemahiran baharu, kita mungkin akan mempunyai teknologi yang canggih tetapi tenaga kerja yang tertinggal.

Jadi AI Akan Ambil Kerja Kita?

Mungkin ada pekerjaan yang akan hilang. Mungkin ada pekerjaan yang akan berubah. Dan pada masa yang sama, pekerjaan baharu akan muncul.

Ini bukan kali pertama teknologi mengubah dunia pekerjaan. Bezanya, AI bergerak jauh lebih pantas dan boleh digunakan dalam hampir semua sektor. Sebab itu kita tak perlu takut kepada AI semata-mata. Yang kita perlukan ialah persediaan.

Kalau pekerja diberi peluang untuk belajar kemahiran baharu, syarikat bersedia menyesuaikan pekerjaan dan kerajaan terus melabur dalam pembangunan bakat, AI boleh menjadi alat yang membantu rakyat bekerja dengan lebih produktif.

Akhirnya, masalah sebenar bukan AI akan ambil kerja kita. Masalahnya, kalau dunia kerja berubah, tapi kita masih bekerja dengan cara yang sama.