Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dari BN dan PN hilang jawatan dalam masa satu malam. Adakah ini bermakna kerajaan negeri sudah tumbang? Atau sebenarnya ada krisis perlembagaan yang lebih besar sedang berlaku di sebalik semua ini?
Kerajaan Negeri Tidak Tumbang, Tapi Mungkir Sumpah
Apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Exco semalam, ramai terus ingat kerajaan negeri sudah tumbang. Tapi sebenarnya tidak. Kerajaan negeri masih kekal sebab majoriti dalam DUN masih ada dan tiada pun undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Pembatalan jawatan 10 Exco BN/PN yang baru dilantik pada Ogos lalu bukan berlaku secara tiba-tiba. Tindakan itu dibuat susulan keputusan dan kenyataan mereka pada 15 September apabila mengiktiraf ‘Proklamasi 19 April 2026’ yang bertujuan menjatuhkan Tuanku Muhriz.
Langkah ini dilihat bercanggah dengan sumpah jawatan yang diikrar mereka. Sebab itu, perkenan Baginda terhadap pelantikan mereka ditarik balik berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tapi satu perkara kena jelas. Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, masih kekal dalam jawatan. Beliau cuma perlu kemukakan senarai Exco yang baharu untuk dapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar di bawah Perkara 38(2), supaya pentadbiran negeri boleh terus berjalan.
Kedudukan Tuanku Muhriz dan Isu Proklamasi April
Rakyat pula jangan sampai terikut-ikut dengan naratif ‘dua raja’ atau pelbagai spekulasi yang sedang berlegar di media sosial. Kalau kita tengok pada fakta perundangan dan kenyataan rasmi, kedudukan takhta serta pentadbiran Negeri Sembilan sebenarnya masih jelas.
Dewan Keadilan dan Undangan sahkan bahawa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih sah dan tidak kosong. Jabatan Peguam Negara juga berpandangan bahawa ‘Proklamasi 19 April’ tidak sah kerana tidak melalui prosiding siasatan penuh seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10.
Malah, proklamasi tersebut juga tidak pernah diwartakan.
Setiausaha Kerajaan Negeri turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan menguatkuasakan proklamasi berkenaan. Apa-apa keputusan mesyuarat yang dibuat sebelum ini berkaitan proklamasi tersebut juga ditegaskan tidak mempunyai kesan undang-undang.
Kronologi Hingga Terjadinya Lucutan
Macam mana semua ini boleh berlaku? Krisis ini sebenarnya bermula daripada pertikaian mengenai ‘Proklamasi April’ yang mendakwa berlaku penandatanganan oleh sebahagian Undang untuk melucutkan jawatan Tuanku Muhriz.
Selepas PRN Negeri Sembilan pada awal Ogos lalu, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, diikuti barisan Exco yang mengangkat sumpah pada 7 Ogos. Namun, pada 15 September, Exco buat keputusan untuk mengiktiraf pihak lain, iaitu Tuanku Nadzaruddin.
Di sinilah masalah berlaku. Exco BN, PN dan MCA yang sebelum ini mengangkat sumpah untuk taat setia kepada Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertuan Besar, kemudiannya buat keputusan untuk menggulingkan Baginda.
Sebab itu, Tuanku Muhriz ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan perlembagaan dengan menarik balik pelantikan keseluruhan barisan Exco tersebut. Jadi, isu ini bukan sekadar pertukaran jawatan biasa, tetapi berkait rapat dengan persoalan sumpah jawatan, kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan kesahihan tindakan yang dibuat selepas itu.
Apa Yang Bakal Berlaku?
Sekarang persoalannya, selepas 10 Exco hilang jawatan, apa pula yang akan berlaku kepada pentadbiran Negeri Sembilan? Setakat ini, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku.
Senario pertama, barisan Exco baharu dilantik. Menteri Besar boleh mengemukakan senarai nama baharu untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar sebelum mereka mengangkat sumpah. Kalau proses ini berjalan lancar, barisan Exco baharu boleh dibentuk dan pentadbiran negeri dapat berjalan semula seperti biasa.
Senario kedua, proses pelantikan Exco baharu berdepan kebuntuan. Kalau rundingan politik gagal menghasilkan senarai yang mendapat perkenan, Negeri Sembilan mungkin melalui tempoh yang lebih panjang tanpa barisan Exco. Ketika itu, mungkin akan timbul desakan daripada parti-parti tertentu supaya DUN dibubarkan atau PRN diadakan.
Senario ketiga pula melibatkan proses mahkamah dan siasatan polis. Sebarang keputusan mahkamah, termasuk jika ada permohonan atau perintah injunksi, serta hasil siasatan PDRM terhadap dokumen dan ikrar yang menjadi pertikaian boleh memberi kesan kepada perkembangan isu ini selepas ini. Sebab itu, masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana krisis ini akhirnya akan berakhir.
Rakyat Juga Yang Menanggung
Apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini sebenarnya mudah. Bila seseorang dah pegang jawatan dalam kerajaan negeri, sumpah jawatan dan Undang-Undang Tubuh Negeri bukan sekadar formaliti. Ada peraturan yang perlu dipatuhi.
Akhirnya, inilah yang terpaksa dihadapi rakyat Negeri Sembilan yang memilih BN dan PN. Dulu, mereka sibuk membawa naratif kononnya merekalah yang akan menjaga kepentingan Melayu dan mempertahankan institusi Raja. Tapi bila sudah dapat kuasa, slogan ‘satukan Melayu’ dicampak ke tepi.
Sudah terhantuk baru tengadah, kalau inilah hasilnya, rakyat Negeri Sembilan hadap sajalah apa yang sudah berlaku.