Derma Bebaskan Najib, Retorika Satu Perjuangan

Kenapa bila orang bantu Najib Razak semua marah? Dulu Tabung Harapan boleh, DAP pun pernah buat kutipan untuk Lim Guan Eng.

Sekali imbas, naratif ni seolah-olah ada asasnya. Tapi tindakan membandingkan ketiga-tiga isu ini sebenarnya satu tindakan yang sangat keliru.

Di Mana Bezanya?

Inisiatif Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2018 dulu ialah kutipan rasmi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Kewangan dengan matlamat sebagai saluran secara sukarela kepada rakyat yang mahu menyumbang untuk kurangkan beban hutang negara.

Hutang yang mana? Hutang berbilion ringgit akibat skandal kewangan 1MDB yang ditinggalkan oleh pentadbiran Najib sendiri. Dana yang terkumpul disalurkan terus ke Perbendaharaan Negara, diaudit secara rasmi, dan digunakan untuk kepentingan kewangan awam.

Bagaimana pula dengan kutipan dana DAP untuk Lim Guan Eng? Sumbangan awam dikutip ketika beliau dituduh di mahkamah bagi dua kes iaitu kes banglo 2016 serta kes terowong dasar laut 2020. Kutipan tersebut khusus untuk deposit wang jaminan (bail) sementara menunggu perbicaraan. Ini berbeza dengan denda atau hukuman jenayah.

Malah untuk kes banglo 2016, Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan Lim Guan Eng pada 2018. Sebaik kes selesai, wang jaminan RM1 juta dipulangkan semula oleh mahkamah dan DAP menyalurkan terus ke Program Biasiswa Penuh Penang Future Foundation (PFF) untuk pendidikan anak muda.

Kes Najib pula berada dalam landskap yang jauh berbeza. Beliau bukan lagi seorang tertuduh yang tengah tunggu perbicaraan, tapi seorang individu yang dah disabitkan bersalah secara muktamad oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan dalam skandal penyelewengan dana SRC International.

Ini bukan lagi soal nak bela seseorang yang belum terbukti bersalah sebaliknya usaha nak kumpul bayaran denda hukuman jenayah yang diperintahkan oleh undang-undang ke atas pesalah rasuah.

Bila Rakyat Diminta Bantu Perasuah

Dekat mana terletaknya kompas moral dan fikiran rasional kita bila denda atas kesalahan menyeleweng wang awam, akhirnya dipindahkan pula bebannya ke atas bahu rakyat biasa?

Setakat ini, kutipan baru mencecah sekitar RM1 juta daripada sasaran RM50 juta. Boleh dikatakan usaha UMNO gagal, memandangkan UMNO mempunyai 3.25 juta ahli.

Ini tanda UMNO salah pilih untuk meneruskan warisan perasuah, dan rakyat makin cerdik.