“TH ni menyusahkan orang kampung!”. Itu adalah antara reaksi yang bergema bila Seruan Istito’ah dibahaskan di Dewan Rakyat.
PAS antara yang paling lantang. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mendesak syarat ini dibatalkan kerana katanya ia menyusahkan rakyat. Ahli Parlimen Bagan Serai pula mempermainkan istilah istitoah, sebagai “uh-ah”. Persoalannya, benarkah simpanan RM15,000 ini bercanggah dengan konsep istitoah?
Apa Sebenarnya Seruan Istitoah?
Istito’ah sendiri dipetik dari surah Ali Imran, ayat 97 berkenaan arahan Allah SWT untuk mengerjakan haji bagi yang mampu. TH melancarkan Seruan Istito’ah pada 11 September lalu. Pendeposit yang simpanannya mencapai RM15,000 akan masuk giliran haji secara automatik. Yang sudah mendaftar pula diberi tempoh lebih dua tahun, sehingga 31 Disember 2028, untuk mencukupkan simpanan secara berperingkat. Mulai 2029, barulah giliran disusun semula ikut tarikh daftar dan baki simpanan.
Kenapa RM15,000? Angka itu sama dengan kadar bayaran haji paling rendah, iaitu kadar untuk golongan B40. Kos sebenar seorang jemaah mencecah RM33,300, dan bakinya ditanggung subsidi. Maknanya, RM15,000 ialah jumlah minimum yang memang perlu dibayar bila tiba giliran nanti. Ia bukan angka rekaan untuk menapis orang miskin.
Istito’ah Dalam Cadangan Pemulihan Tabung Haji Oleh RCI
Panel pakar RCI mendapati langkah Tabung Haji memberi subsidi sebenarnya mampu melumpuhkan institusi itu bila mengunjurkan RM750 juta perlu diambil dari hasil pendeposit untuk menampung skim ini menjelang 2030. Akibatnya dividen yang diperolehi oleh pendeposit akan semakin kurang. Ini berbeza sebelum tahun 2001 bila tiada subsidi diberikan kepada jemaah untuk mengerjakan haji.
Cadangan PAS Sebenarnya Sudah Dicuba
Tuan Ibrahim mencadangkan TH menghantar peringatan setahun dua sebelum tiba giliran supaya bakal haji sempat mencukupkan simpanan. Masalahnya, sistem lama hanya mensyaratkan RM1,300 untuk mendaftar. Hasilnya, lebih separuh yang dapat tawaran pada 2025 terpaksa menangguh kerana simpanan tak cukup.
Bila TH mensyaratkan RM15,000 untuk menerima tawaran dan menghantar peringatan seawal dua tahun, kadar penangguhan jatuh kepada 18%, tanpa mengambil kira faktor kesihatan dan lain-lain. Seruan Istito’ah hanya meluaskan pendekatan yang sudah terbukti ini, dengan tempoh yang lebih panjang.
Adil Untuk Yang Bersedia, Selari Dengan Syor RCI
Hari ini, lebih 53% daripada kira-kira sembilan juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300. Bila semua boleh beratur dengan deposit kecil, barisan jadi terlalu panjang sehingga tempoh menunggu dianggar mencecah 150 tahun. Dengan syarat RM15,000 ini, tempoh itu dijangka boleh dipendekkan kepada bawah 70 tahun. Yang benar-benar bersedia mendapat peluang lebih awal. Meletakkan sesuatu pada tempatnya, itulah keadilan.
RCI yang sama mendedahkan kerugian hampir RM13 bilion daripada 14 pelaburan TH akibat tadbir urus lemah dan campur tangan politik. Ironinya, bila laporan itu dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat Ogos lalu, sebahagian Ahli Parlimen pembangkang memilih untuk keluar dewan.
Terbaru Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan rasuah yang berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjaga kebajikan tetamu Allah. Istitoah ialah amanah ilmu, bukan modal politik. Kalau benar mahu membela bakal haji, ajaklah mereka bersedia sejak awal, bukan menakutkan mereka dengan label “uh-ah”.