Siapa Mufti Taqi Usmani, Ulama Yang Dinanti Di Putrajaya?

Malaysia bakal menghimpunkan ulama dan pakar Islam antarabangsa sempena Sesi ke-27 Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), dari 30 November hingga 3 Disember ini. Antara nama yang dinanti ialah Mufti Taqi Usmani, tokoh yang pernah dinobatkan sebagai Muslim paling berpengaruh di dunia.

Siapa sebenarnya beliau, dan mengapa persidangan ini penting buat umat Islam?

Majlis Ulama Dunia Sejak 1981

IIFA ditubuhkan hasil Sidang Kemuncak Islam Ketiga di Makkah pada 1981, apabila pemimpin dunia Islam memutuskan perlunya satu badan ulama untuk menjawab isu semasa umat. Sesi pertamanya diadakan pada 19 November 1984, iaitu tarikh yang sama Taqi Usmani mula mewakili Pakistan. Maknanya, beliau sudah berada di situ sejak hari pertama.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah sesi ke-18 pada 2007. Hampir dua dekad kemudian, IIFA kembali ke Putrajaya. Kerjasama itu diperkukuh sejak Setiausaha Agung IIFA berkunjung pada Disember 2023, ketika Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggesa kerjasama berterusan dengan JAKIM. Kali ini, persidangan dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan tema “Mensejahterakan Masyarakat dan Memperkasa Nilai Madani”.

Siapa Mufti Taqi Usmani?

Beliau lahir di Deoband, India pada 1943, anak kepada Mufti Besar Darul Uloom Deoband, dan berhijrah ke Karachi ketika berusia empat tahun. Selepas bergelar Mufti, beliau turut mengambil ijazah ekonomi, undang-undang dan sastera Arab di universiti. Gabungan itulah yang membawanya ke kerusi hakim Bangku Rayuan Syariah Mahkamah Agung Pakistan dari 1982 hingga 2002.

Di situ beliau terlibat dalam keputusan bersejarah 1999 yang mengisytiharkan riba haram dalam semua bentuk, dan menulis sendiri salah satu bahagian penghakiman setebal 600 muka surat itu. The Muslim 500 menamakan beliau Muslim paling berpengaruh di dunia dalam edisi 2020, dan beliau berada di tempat kedua dalam senarai 2025.

Rujukan Dunia Kewangan Islam

Kalau anda pernah buka akaun di bank Islam, ada kemungkinan produk itu dibentuk mengikut piawaian yang beliau pengerusikan. Beliau ialah Pengerusi Majlis Piawaian Syariah AAOIFI di Bahrain, yang piawaiannya digunakan atau dirujuk oleh bank Islam dan pengawal selia di banyak negara. Di Malaysia, keputusan muktamad tetap datang daripada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara, tetapi pandangan beliau dihormati.

Di Pakistan, beliau perintis perbankan Islam melalui Meezan Bank dan pernah mempengerusikan Lembaga Syariah Bank Negara Pakistan. Bukunya, An Introduction to Islamic Finance, menjadi bacaan asas di banyak universiti, daripada 143 buah buku yang ditulisnya.

Beliau juga tidak segan menegur industri yang beliau bantu bangunkan. Pada 2007, beliau mengkritik bahawa kebanyakan sukuk ketika itu tidak menepati Syariah sepenuhnya, dan setahun kemudian AAOIFI mengeluarkan garis panduan baharu.

Malaysia Sebagai Hab Ilmu Islam

Persidangan ini bukan sekadar pertemuan ulama, tetapi medan membincangkan tujuh bidang utama iaitu AI, perubatan, kewangan Islam, kekeluargaan, fiqh masyarakat majmuk, akhlak Nabi SAW dan istihsan. Kira-kira 140 kertas kajian yang telah melalui semakan ilmiah akan dibentangkan, berpandukan Maqasid al-Syariah, ijtihad kolektif dan prinsip wasatiyyah.

Ia diketuai Presiden IIFA, Sheikh Dr. Saleh bin Abdullah bin Humaid, yang juga Penasihat Mahkamah Diraja Arab Saudi dan imam Masjidil Haram, bersama Setiausaha Agung IIFA, Prof. Dr. Koutoub Moustapha Sano. Turut dijangka hadir ahli Majlis dan Biro Eksekutif dari Arab, Afrika dan Asia, termasuk Dr. Ahmad Abdulaziz Al-Haddad dan Mufti Taqi Usmani, mufti negara OIC seperti Arab Saudi, Mesir, Turkiye, Jordan, Maghribi dan Indonesia, serta cendekiawan Muslim minoriti dari Eropah, Amerika Utara dan Asia Timur.

Perbincangan turut melibatkan pakar AI tentang etika algoritma, saintis genetik mengenai CRISPR dan terapi sel, serta pengamal perbankan Islam, pasaran modal, wakaf dan zakat, supaya hukum yang diputuskan mengambil kira realiti semasa.

Seperti Melaka lima abad lalu, yang menjadi pertemuan ulama dan pedagang Arab, Parsi serta India hingga menyebarkan Islam ke Nusantara, Malaysia kini kembali menghimpunkan ilmuwan Islam dunia dan berkongsi pengalamannya mengurus masyarakat majmuk. Kali ini, untuk mencari jawapan kepada persoalan umat dalam era AI.