Seruan kedamaian melalui seni hiburan Islamik

Pertemuan antara ikon nasyid tanah air, Che Amran (Yusuf) Raihan dan Nazrey Johani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada April lalu telah mengimbau semula memori nostalgia zaman keemasan industri muzik Islamik negara. Di era 90-an dan awal 2000-an, nasyid bukan sekadar genre muzik pinggiran, melainkan sebuah fenomena global yang mampu menembusi pasaran arus perdana dengan jualan album mencecah jutaan unit.

Kumpulan seperti Raihan bukan sahaja menguasai carta tempatan, malah berjaya melangkah jauh ke pentas antarabangsa. Oleh itu, pertemuan penuh ukhwah tersebut boleh dianggap satu isyarat penting kepada langkah strategik jangka masa panjang.

Ini adalah detik munasabah untuk kita menilai semula bagaimana industri seni Islamik tempatan, mahupun antarabangsa seperti yang dipelopori oleh Cat Stevens (Yusuf Islam), boleh dihidupkan semula agar kekal segar, relevan, dan terus bernyawa dalam sanubari masyarakat moden.

Pengaruh tokoh dunia seperti Yusuf Islam menunjukkan bahawa muzik kerohanian mempunyai audiens yang luas sekiranya diadun dengan elemen sejagat. Kita perlu meneliti formula kejayaan masa lalu ini dan menyuntik elemen kontemporari yang bersesuaian dengan selera generasi baru yang banyak dipengaruhi kepantasan arus modenisasi.

Hiburan adalah keperluan fitrah manusia yang sangat ampuh dalam membentuk psikologi masyarakat. Mengasingkan seni daripada dakwah adalah satu kesilapan strategik. Alunan nasyid kontemporari dan muzik ketuhanan yang berkualiti mempunyai keupayaan unik untuk menyusup masuk ke dalam ruang emosi pendengar. Melalui bait lirik puitis, mesej ketuhanan dapat diserap secara halus tanpa menimbulkan rasa bosan dalam kalangan pendengar.

Namun, cabaran hari ini amat getir; limpahan genre muzik global yang rancak di platform penstriman digital menuntut seni hiburan Islamik melakukan anjakan paradigma yang total agar tidak terus hanyut ditelan zaman.

Dalam usaha memastikan kelangsungan seni hiburan Islamik ini, peranan Dr. Zulkifli Hasan selaku menteri agama adalah sangat kritikal. Beliau tidak boleh sekadar menjadi pemerhati yang menerima kunjungan hormat, sebaliknya bertindak sebagai pemangkin utama (chief enabler) yang mengintegrasikan seni kreatif ke dalam agenda dakwah nasional.

Sesuai dengan prinsip Malaysia MADANI yang mendokong teras Daya Cipta dan Ihsan, Dr. Zulkifli wajar memainkan peranan proaktif. Di bawah seliaan beliau, JAKIM wajar menubuhkan Dana Pembangunan Seni Kreatif Islamik atau bekerjasama dengan Kementerian Digital serta FINAS.

Dana ini bertujuan membantu penggiat seni tempatan—sama ada kumpulan nasyid veteran mahupun pemusik muda—menghasilkan kandungan berkualiti tinggi bagi platform penstriman moden. Melalui bimbingan beliau, pengurusan program agama boleh membuka ruang penglibatan kepada anak-anak seni ini untuk membuat persembahan di pentas rasmi berskala besar, sekali gus mengiktiraf sumbangan mereka sebagai ejen penyebaran rahmah yang sah dan profesional.

Pengiktirafan ini penting bagi menaikkan moral penggiat seni tempatan agar mereka melihat bidang ini sebagai kerjaya mampan yang menyumbang kepada sahsiah masyarakat.

Seterusnya, Dr. Zulkifli Hasan perlu meluaskan ufuk pemikiran industri dengan membawa naratif muzik ketuhanan ke peringkat antarabangsa, mengambil inspirasi daripada impak global figura seperti Cat Stevens (Yusuf Islam). Seni Islamik tidak seharusnya terperangkap dalam bahasa atau acuan tempatan yang stereotaip.

Kementerian Agama boleh memulakan langkah penganjuran Festival Muzik Ketuhanan Antarabangsa secara berkala, dengan menjemput pemusik kerohanian global untuk berkongsi pentas bersama artis tempatan seperti Raihan. Melalui pendekatan inklusif ini, muzik Islamik dipasarkan sebagai sebuah seni sejagat yang memperjuangkan nilai kemanusiaan, keamanan, kelestarian alam, dan kasih sayang.

Langkah ini bukan sahaja mampu menarik minat generasi muda yang dahagakan muzik bermakna (meaningful music), malah turut membuka pintu kefahaman kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali keindahan Islam yang mendamaikan menerusi bahasa muzik yang universal.

Kesimpulannya, pertemuan mengimbau zaman gemilang nasyid ini tidak harus terhenti sebagai sebuah coretan berita ringkas. Ia mestilah menjadi titik tolak kepada pelan tindakan yang holistik. Melalui dinamisme, keterbukaan, dan sokongan padu daripada Dr. Zulkifli Hasan, kita menaruh harapan agar seni hiburan Islamik Malaysia mampu bangkit semula dengan wajah baharu yang lebih segar, progresif, dan berwibawa demi memandu orientasi budaya ummah ke arah yang lebih diredai.