Hutang Kerajaan Persekutuan memang sudah mencecah lebih RM1.4 trilion. Namun bukan bermaksud kerajaan perlu bayar semuanya sekaligus.
Hutang kerajaan ada tempoh matang dan apabila sampai masanya, hutang lama boleh dibiayai semula dengan pinjaman baharu. Kalau semua duit kerajaan digunakan untuk bayar hutang lama sekaligus, peruntukan untuk rakyat pula kena potong. Jadi nak potong STR, SARA, subsidi, hospital atau sekolah? Kalau semua itu nak dikekalkan, kerajaan kena cari sumber duit lain, termasuk melalui cukai.
Tapi untuk faham isu hutang negara, kita kena lihat bagaimana hutang tersebut terkumpul, untuk apa pinjaman dibuat dan bagaimana kerajaan menguruskannya hari ini.
Siapa Yang Menyebabkan Hutang Ini Meningkat?
Pada akhir 2008, sebelum Najib Razak menjadi Perdana Menteri, hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM306.4 bilion. Menjelang akhir 2017, hutang tersebut meningkat kepada RM686.8 bilion.
Dalam tempoh sembilan tahun, hutang meningkat lebih RM380 bilion atau 124%, sedangkan KDNK atau pendapatan hanya meningkat sekitar 78%. Maknanya, kadar pertumbuhan hutang ketika itu jauh lebih pantas berbanding pertumbuhan ekonomi.
Tapi RM686.8 bilion itu pun ada cerita tersendiri. Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pada 2018 dan semak semula kedudukan kewangan kerajaan, jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan pada akhir 2017 sebenarnya RM1.087 trilion. Kenapa?
Selain RM686.8 bilion hutang langsung, terdapat RM199.1 bilion jaminan kerajaan dan RM201.4 bilion komitmen Kerjasama Awam Swasta. Jumlah keseluruhan ini menjadikan hutang dan liabiliti kerajaan pada ketika itu sekitar RM1.087 trilion. Ini diwariskan dari kerajaan terdahulu.
MADANI Masih Berhutang, Tetapi Pinjaman Baharu Menurun
Sekarang lihat pula keadaan di bawah kerajaan MADANI. Hutang baharu masih ada namun, jumlah pinjaman baharu secara tahunan menunjukkan trend menurun, daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM77 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025.
Kalau dah banyak hutang, kenapa nak berhutang lagi? Pinjaman ini digunakan untuk membiayai pembangunan yang rakyat boleh nampak. Belanjawan 2026 menyediakan RM2.5 bilion untuk membina dan membaiki jalan kampung serta jalan desa, lebih RM700 juta untuk bekalan air bersih dan elektrik luar bandar, RM1 bilion untuk menaik taraf 520 sekolah daif dan RM860 juta untuk penyelenggaraan sekolah. Kerajaan turut menyediakan RM925 juta untuk menggantikan hampir 825 kilometer paip usang.
Semua itu memerlukan peruntukan dan tidak boleh dilaksanakan tanpa sumber kewangan.
Duit Negara Datang Dari Mana?
Hakikatnya, kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk membiayai perbelanjaan negara. Sama ada berhutang, meningkatkan hasil melalui cukai atau mengurangkan perbelanjaan dan subsidi. Tidak ada pilihan keempat yang membolehkan kerajaan meneruskan semua projek, mengekalkan semua bantuan dan subsidi, tetapi pada masa yang sama tidak berhutang, tidak menaikkan hasil dan tidak mengurangkan perbelanjaan.
Zaman Najib Razak sendiri, kerajaan menggunakan GST sebagai salah satu sumber hasil negara. Pada 2017, GST menyumbang sekitar RM44 bilion kepada hasil kerajaan. Hasil tersebut digunakan untuk membiayai pelbagai bantuan dan perkhidmatan kerajaan.
Bila kerajaan sekarang meminjam, ada pihak yang mengatakan “hutang negara meningkat”. Bila kerajaan meningkatkan hasil melalui cukai, dikatakan pula “membebankan rakyat”. Bila subsidi disasarkan, dikatakan “menzalimi rakyat”. Tetapi pada masa yang sama, bantuan, subsidi, hospital, sekolah dan projek pembangunan semuanya mahu diteruskan.
MRT3 sahaja ketika itu dianggarkan menelan sekitar RM35 bilion hingga RM40 bilion. Jadi bagaimana semua projek seperti ECRL, RTS dan lain-lain hendak dibiayai? Melalui hutang atau naikkan cukai? Hakikatnya, tidak ada projek mega yang boleh dibina tanpa sumber kewangan.
Dan jangan lupa beberapa projek yang menjadi tanda tanya sehingga kini. Dua projek saluran paip pada zaman Najib bernilai RM9.4 bilion, dengan sekitar RM8.3 bilion telah dibayar, sedangkan kemajuan kerja dilaporkan hanya sekitar 13%.
Begitu juga dengan 1MDB. Akibat kegagalan pengurusan dan skandal tersebut, kerajaan akhirnya perlu menanggung obligasi berkaitan 1MDB yang mencecah lebih RM50 bilion. Ini belum termasuk persoalan berkaitan Tabung Haji, Felda dan beberapa komitmen lain yang turut menjadi beban kepada negara.
Jangan Hanya Kira Hutang, Kira Juga Bebannya
Kerajaan hari ini masih perlu membayar hutang lama sambil memastikan peruntukan untuk rakyat dan pembangunan negara terus berjalan. Sebab itu yang lebih penting ialah melihat sama ada hutang baharu semakin terkawal dan bagaimana kerajaan mengurus kewangan negara untuk mengurangkan beban tersebut