Rakyat Makin Susah? Apa Kata Data?

“Hidup zaman MADANI ni makin susah! Dah la harga barang asyik naik!” Ayat-ayat macam ni kita dengar hampir setiap hari, di Threads, di kedai kopi, malah dalam group WhatsApp keluarga.

Tapi, betul ke keadaan ekonomi isi rumah kita semakin teruk? Untuk faham keadaan sebenar, jom kita tengok laporan The State of Households 2026 yang diterbitkan oleh Khazanah Research Institute (KRI), berdasarkan survei isi rumah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pendapatan Naik, Kemiskinan Turun

Secara mudah, kebanyakan keluarga di Malaysia hari ini membawa pulang lebih banyak duit berbanding dua tahun lalu. Pendapatan isi rumah biasa naik daripada RM6,615 kepada RM7,017 sebulan, dan kenaikan ni dah pun ambil kira harga barang yang naik.

Dalam tempoh sama, lebih 70 ribu keluarga berjaya keluar daripada kemiskinan. Bilangan keluarga miskin sekarang lebih sedikit berbanding sebelum COVID-19.

Jurang pendapatan antara orang kaya dan orang biasa pun makin rapat, paling kecil pernah direkodkan dalam sejarah negara. Lebih ramai rakyat juga kini bekerja atau sedang mencari kerja berbanding sebelum pandemik.

Rakyat Sendiri Mengaku Bahagia

Ini bukan sekadar angka ekonomi. Bila DOSM tanya sendiri kepada rakyat tentang tahap kebahagiaan mereka, skornya naik dengan ketara berbanding tahun 2021, dan rakyat Malaysia kini berada dalam kategori “bahagia”.

Kemudahan asas pun makin dekat dengan rumah. Hampir semua keluarga kini tinggal tak jauh dari klinik atau hospital kerajaan, berbanding sedekad lalu ketika lebih ramai yang terpaksa pergi jauh. Elektrik pula sudah sampai ke hampir setiap rumah.

Rakyat Lebih Banyak Berbelanja Di Luar

Ini yang paling menarik. Buat pertama kali, keluarga di Malaysia berbelanja lebih untuk makan di luar berbanding masak di rumah. Sebulan, purata keluarga habiskan RM903 untuk makan di luar, lebih tinggi daripada RM876 untuk barang dapur.

Trend ni bukan berlaku dalam kalangan orang senang sahaja. Keluarga berpendapatan rendah pun makin kerap makan di luar, malah kenaikannya lebih laju berbanding golongan kaya.

Dan kita sendiri boleh nampak. Setiap kali ada festival makanan, tapaknya penuh sesak. Bila ada makanan viral, orang sanggup beratur berjam-jam semata-mata nak merasa. Rakyat yang betul-betul tak cukup duit takkan beratur panjang untuk croissant viral atau mi tarik yang tular di TikTok. Gaya hidup sebegini mencerminkan rakyat masih ada duit lebih untuk berbelanja.

Jadi, Tiada Siapa Yang Susah?

Tapi tak adil kalau kita kata semua orang senang. Data yang sama tunjukkan tekanan memang wujud, cuma ia tertumpu pada kumpulan tertentu. Bagi 10% keluarga paling bawah, gaji sebulan hampir habis untuk belanja harian. Baki yang tinggal hanya 1.9%, berbanding 10.8% pada 2019.

Bagi keluarga yang ketua keluarganya berusia 65 tahun ke atas, pendapatan mereka hanya sekitar RM4,000 sebulan, jauh lebih rendah berbanding keluarga biasa. Penduduk luar bandar dan beberapa daerah di Sabah dan Kelantan juga masih jauh ketinggalan.

Kerajaan bukan tak nampak semua ni. Sebab itu dalam Belanjawan 2027, bantuan tunai STR dan SARA ditambah lagi. Penerima STR boleh dapat sehingga RM150 sebulan untuk beli barang keperluan, dan kini boleh guna di pasar tani FAMA.

Gaji minimum pula akan naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027. Pencen minimum dan bantuan warga emas juga dinaikkan. Untuk pekerja gig seperti rider penghantaran, pendapatan minimum dan perlindungan sosial akan diperkenalkan menjelang awal 2027.

Malaysia Sedang Menuju Negara Maju

Kalau tengok gambaran besar, arahnya jelas. Purata pendapatan rakyat Malaysia kini berada pada paras tertinggi sejak merdeka. Kita hanya tinggal selangkah lagi untuk diiktiraf Bank Dunia sebagai negara berpendapatan tinggi, iaitu taraf yang dikongsi negara maju.

Memang tak ada kerajaan yang sempurna. Tapi di bawah Kerajaan MADANI, banyak tuntutan lama yang dilaungkan rakyat mula ditunaikan satu demi satu, dan bantuan disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan.

Jalan menuju negara maju masih panjang, tapi arah tuju kita semakin jelas. Persoalannya, adakah kita nak terus melangkah ke hadapan, membina masa depan yang lebih baik, atau berpatah balik kepada cara lama yang belum tentu membawa kita ke mana-mana?